
SEREMBAN, 16 Julai – Seramai 22,339 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Negeri Sembilan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama pasangan akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada hari pengundian awal 28 Julai ini.
- PDRM menekankan elak isu 3R (agama, kaum, institusi diraja) dalam ceramah, kempen, kenyataan media dan muat naik media sosial.
- Semua pihak diingatkan terima keputusan pilihan raya dengan matang dan guna saluran perundangan jika ingin membuat bantahan.
- PDRM minta parti kawal penyokong dan elak provokasi, perarakan tanpa kebenaran, berita palsu, fitnah serta ucapan berbaur kebencian.
Ketua Polis Negeri Datuk Alzafny Ahmad berkata jumlah itu melibatkan 5,455 pegawai dan anggota PDRM, manakala 16,884 lagi terdiri daripada anggota ATM bersama dengan pasangan yang akan menunaikan tanggungjawab pada hari berkenaan.
“Seramai 1,796 pegawai dan anggota akan bertugas di semua zon pada hari pengundian awal tersebut,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Selain itu, PDRM turut memberi penekanan kepada semua pihak agar mengelak isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja, termasuk dalam ceramah politik, bahan kempen, kenyataan kepada media serta kandungan yang dimuat naik di media sosial.
“Semua calon, penyokong dan orang ramai diingatkan supaya menerima keputusan pilihan raya dengan penuh kematangan serta menggunakan saluran perundangan yang disediakan sekiranya ingin mengemukakan sebarang bantahan, tanpa mengambil tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” jelas beliau.
Bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar, PDRM akan menggerakkan 2,393 pegawai dan anggota pada hari penamaan calon, 1,685 anggota sepanjang tempoh berkempen dan 4,788 pegawai serta anggota pada hari pengundian.
Datuk Alzafny turut mengingatkan semua parti politik supaya mengawal penyokong masing-masing sepanjang tempoh berkempen, demi memastikan PRN Negeri Sembilan Ke-16 berlangsung dalam suasana aman, tertib dan harmoni.
“Elakkan sebarang bentuk provokasi, perarakan tanpa kebenaran, penyebaran berita palsu, fitnah, ucapan berbaur kebencian dan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.