Identiti rasmi Sukan SEA, Para ASEAN 2027 dimuktamadkan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Julai Logo, maskot dan tema rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2027 serta Sukan Para ASEAN 2027 telah dimuktamadkan dan kini berada pada peringkat akhir persiapan sebelum diumumkan secara rasmi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilihan identiti dibuat melalui pertandingan reka bentuk dan penilaian panel pakar industri kreatif, sukan dan budaya tempatan.
  • Logo, maskot dan tema mencerminkan semangat perpaduan, kepelbagaian, kecemerlangan serta menonjolkan identiti Malaysia sebagai tuan rumah.
  • Pelancaran rasmi akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari pada 13 Julai di IOI City Mall, Putrajaya.
  • Malaysia tuan rumah Sukan SEA Ke-34 (18–29 Sept 2027) di empat kluster; Sukan Para ASEAN Ke-14 (17–23 Okt 2027) melibatkan >10,000 peserta dari 11 negara.

Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 memaklumkan proses pemilihan identiti rasmi temasya itu dibuat menerusi pertandingan reka bentuk serta penilaian oleh panel pakar industri kreatif, sukan dan budaya tempatan.

Menurut kenyataan itu, logo, maskot dan tema berkenaan akan mencerminkan semangat perpaduan, kepelbagaian serta kecemerlangan sukan Asia Tenggara, di samping menonjolkan identiti Malaysia sebagai tuan rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub menyatakan pihaknya berpuas hati dengan hasil akhir yang dipilih kerana setiap elemen membawa identiti dan aspirasi negara serta rantau ini.

“Kami berpuas hati dengan hasil akhir yang dipilih. Logo, maskot dan tema ini bukan sekadar simbol, tetapi pencerita identiti Malaysia dan aspirasi rantau.

“Pelancaran rasmi akan dibuat dalam masa terdekat untuk dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia dan negara-negara peserta,” katanya.

Majlis pelancaran rasmi logo, maskot dan tema itu dijadual disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari pada 13 Julai di IOI City Mall, Putrajaya.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA Ke-34 dari 18 hingga 29 September 2027 melibatkan empat kluster penganjuran iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang.

Sukan Para ASEAN Ke-14 pula akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 Oktober 2027.

Kedua-dua temasya itu membabitkan penyertaan lebih 10,000 atlet dan pegawai dari 11 negara anggota.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.