Prestasi jadi keutamaan skuad perseorangan wanita di Terbuka Jepun

foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Skuad badminton perseorangan wanita negara akan memberi tumpuan kepada prestasi dan pembentukan karakter, berbanding sekadar memburu mata ranking dunia pada saingan Terbuka Jepun akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih utamakan prestasi, pembentukan karakter, keyakinan dan konsistensi berbanding mengejar mata ranking.
  • Pasukan mungkin berehat selepas China untuk penilaian rapi sebelum Kejohanan Dunia; Terbuka Jepun jadi medan menilai tahap semasa pemain.
  • Wong Ling Ching tidak letak sasaran khusus, fokus perbaiki prestasi, konsistensi dan keyakinan selepas kembali dari kecederaan.

Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin berkata, pendekatan itu penting selepas pemain berjaya mencapai sasaran berada dalam kelompok 32 terbaik dunia.

Menurutnya, pemain kini perlu membina karakter, meningkatkan keyakinan diri serta lebih konsisten dalam melaksanakan corak permainan yang baik ketika berdepan kelompok 20 dan 10 terbaik dunia.

“Kita perlu membetulkan pemikiran terlebih dahulu. Sebelum ini, fokus kita sememangnya terarah kepada memburu mata kedudukan demi kelompok 32 terbaik.

“Namun kini, saya lebih mengutamakan prestasi agar dapat bersaing di peringkat lebih tinggi dan saya tidak mahu sekadar mengambil bahagian sahaja,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.

Jelasnya, mengikut perancangan, pihaknya berkemungkinan besar akan berehat seketika selepas kejohanan di China untuk membuat penilaian rapi demi kejohanan dunia.

“Buat masa ini, tiada persiapan untuk kejohanan lain dalam masa terdekat kerana kami mahu menilai prestasi sebagai persediaan ke kejohanan dunia,” katanya.

Tambah beliau, aspek keyakinan diri dan konsistensi menjadi elemen utama yang ingin diterapkan kerana kedua-duanya mampu membantu pemain bersaing dengan lebih baik di pentas tertinggi.

Selain itu, katanya kejohanan Terbuka Jepun turut menjadi medan penting bagi menilai tahap semasa pemain sebelum persiapan diteruskan menjelang Kejohanan Dunia dan Sukan Asia.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching mengakui tidak meletakkan sasaran tertentu pada penampilan pertamanya di Terbuka Jepun, sebaliknya mahu memberi fokus kepada peningkatan prestasi.

Beliau berkata, perbezaan tahap persaingan dalam kejohanan Super 750 memerlukannya menyesuaikan semula corak permainan selain mengukuhkan keyakinan selepas kembali daripada kecederaan.

“Secara jujurnya, apabila membandingkan pengalaman beraksi dalam kejohanan Super 100 dan 300 sebelum ini dengan tahap Super 500 serta 750 sekarang, perbezaan tahap persaingan itu memang sangat ketara.

“Dahulu, standard permainan saya mungkin sudah mencukupi untuk kejohanan tahap 100 dan 300, namun ia ternyata belum memadai untuk bersaing di peringkat 500 dan 750.

“Oleh itu, banyak aspek permainan yang sedang saya ubah dan pertingkatkan. Proses transisi ini adakalanya prestasi kurang menjadi, yang penting, saya sedang melalui proses tersebut demi peningkatan diri,” katanya.

Ling Ching turut mengakui masih belum berpuas hati dengan tahap konsistensinya, namun berharap Terbuka Jepun dapat menjadi platform terbaik untuk meningkatkan keyakinan diri ketika berdepan pemain-pemain terbaik dunia.

Terdahulu Ling Ching berjaya melangkah ke pusingan 16 terbaik di Terbuka Australia sebelum tumpas kepada wakil Taiwan Huang Yu-Hsun.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.