MADANI Fellowship: 76 peserta disaran timba pengalaman rentas kementerian

Foto RTM

PUTRAJAYA, 30 September – Seramai 76 peserta Program MADANI Fellowship 2026 disaran memanfaatkan peluang menimba pengalaman dan pengetahuan menerusi pendedahan bersama pelbagai kementerian serta agensi kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peserta mesti mempunyai pemahaman menyeluruh mengenai jentera pentadbiran kerajaan untuk melihat isu secara holistik.
  • Cadangan beri ruang sehari berpindah ke kementerian lain bagi memahami fungsi, tanggungjawab dan cabaran setiap kementerian.
  • Gunakan peluang berinteraksi dengan mentor menteri untuk memperoleh pengalaman praktikal tugas dan tanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peserta perlu mempunyai pemahaman lebih luas mengenai keseluruhan jentera pentadbiran kerajaan walaupun ditempatkan di kementerian berbeza.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi membolehkan peserta memahami peranan setiap kementerian dalam memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Anak-anak boleh tahu, faham bahawa pendekatan kita harus komprehensif. Maknanya, walaupun tugasnya di Kementerian Belia atau Kementerian Pengangkutan, tetapi pemahamannya harus lebih meluas,” katanya ketika berucap pada program melibatkan peserta fellowship dan barisan menteri, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari supaya peserta diberi peluang mengikuti perjalanan kementerian lain pada hari tertentu.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya memanfaatkan peluang berinteraksi dengan mentor dalam kalangan menteri bagi mendapatkan pengalaman praktikal berkaitan tugas dan tanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan.

Program MADANI Fellowship merupakan penjenamaan semula Program Felo Perdana selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Jun lalu.

Kesemua 76 peserta akan ditempatkan selama empat bulan bermula hari ini di Pejabat Menteri, Pejabat Timbalan Menteri, Pejabat Ketua Setiausaha Negara serta agensi terpilih di bawah kementerian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.