
KUALA LUMPUR, 30 September – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
- PMKS dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum buat masa ini.
- Keputusan dibuat kerana tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi yang dihadapi sektor PMKS.
- Kerajaan akan berikan sokongan lain termasuk subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif.
- Matlamat: lindungi kebajikan pekerja dengan gaji lebih wajar sambil memastikan PMKS kekal berdaya saing dan produktif.
Keputusan itu mengambil kira tekanan kos operasi serta cabaran ekonomi semasa yang dihadapi sektor berkenaan.
Steven berkata, perkara itu dibangkitkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, yang bersetuju bahawa gaji rakyat perlu terus ditingkatkan.
“Namun, kita juga perlu melindungi perniagaan tempatan, khususnya perusahaan PMKS yang sedang berdepan tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa.
“Kerajaan akan mengambil pendekatan lain bagi membantu meningkatkan gaji pekerja dalam sektor PMKS, termasuk sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif,” katanya menerusi siaran media hari ini.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan peningkatan gaji bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti.
“Matlamat kita jelas bahawa kebajikan pekerja terbela dengan gaji yang lebih wajar, sementara PMKS kekal berdaya saing untuk terus berkembang dan menjana peluang pekerjaan,” katanya.
Kerajaan menggariskan 10 bidang tumpuan utama Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini.
Antara tumpuan utama adalah kepentingan rakyat menjadi keutamaan dalam setiap dasar, ikhtiar dan peruntukan yang bakal dipertimbangkan.