
KUALA LUMPUR, 30 September – Usaha menghantar pulang tahanan warga Myanmar dari depoh imigresen perlu dinilai bukan hanya berdasarkan jumlah yang berjaya dihantar pulang, sebaliknya tempoh mereka berada dalam tahanan yang memberi kesan kepada kos kerajaan.
- Kos berubah tahanan dianggarkan RM15 hingga RM35 sehari, menambah beban perbelanjaan kerajaan.
- Mempercepat proses dokumentasi dengan kerjasama kedutaan dapat mengurangkan tempoh tahanan dan kos berkaitan.
- Penjimatan bukan ukuran tunggal; pemulangan mesti sukarela, selamat dan mampan untuk elak migrasi semula.
Ketua Pusat Penyelidikan Kependudukan dan Migrasi Malaysia (MPMRC), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mashitah Hamidi berkata, kos berubah termasuk makanan, ubat-ubatan, rawatan hospital serta pengiring dianggarkan antara RM15 hingga RM35 sehari bagi setiap tahanan.
Beliau berkata, berdasarkan anggaran itu, penghantaran pulang 5,000 tahanan berpotensi mengurangkan kos berubah antara RM2 juta hingga RM5 juta sebulan.
“Sehingga 15 Ogos tahun ini, terdapat 10,388 warga Myanmar dalam depoh tahanan imigresen dengan mereka berada dalam pelbagai status dan bukan hanya dalam golongan pelarian.
“Namun, penjimatan sebenar bukan hanya bergantung kepada berapa ramai yang dihantar pulang, tetapi lebih kepada berapa lama seseorang berada dalam tahanan,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Dr Mashitah berkata, proses dokumentasi perlu dipercepatkan menerusi kerjasama dengan kedutaan bagi mengurangkan tempoh tahanan.
Katanya, pendekatan itu selari dengan kenyataan Ketua Pengarah Imigresen sebelum ini bahawa kos makanan merupakan antara komponen perbelanjaan tertinggi dalam pengurusan depoh tahanan.
Bagaimanapun, beliau berkata aspek penjimatan tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran dalam pelaksanaan program penghantaran pulang berkenaan.
“Kalau pemulangan ini tidak benar-benar sukarela dan tidak selamat, berkemungkinan berlaku migrasi semula atau mereka berpatah balik kerana tidak tahan dengan tekanan di tempat asal.
“Jadi, kita perlu lihat sama ada program ini tahan diuji dan bersifat mampan, bukan hanya melihat penjimatan dalam tempoh tertentu,” katanya.
Beliau berkata, keberkesanan operasi penghantaran pulang perlu dinilai secara menyeluruh.
Ia bagi memastikan pengurangan jumlah tahanan bukan sekadar bersifat sementara, sebaliknya dapat mengelakkan berlakunya migrasi semula pada masa depan.