
KUALA LUMPUR, 30 September – Tambang perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan disemak semula mulai 1 Januari 2027, dengan tambang dewasa sehala standard antara KL Sentral dan Terminal 1 atau Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat kepada RM65 daripada RM55.
- Pelarasan tambang dibuat selepas 11 tahun, disebabkan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan serta selaras Perjanjian Konsesi ERL dengan Kerajaan.
- ERL menegaskan pelarasan perlu untuk mengekalkan standard perkhidmatan tinggi dan membiayai penambahbaikan jangka panjang bagi pengalaman penumpang.
- ERL sedang runding dengan rakan niaga untuk menawarkan diskaun tiket sehingga 30 peratus dan butiran lanjut akan diumumkan kemudian.
Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) berkata semakan itu dibuat selepas 11 tahun sejak pelarasan tambang terakhir pada 2016, susulan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan serta selaras dengan Perjanjian Konsesi ERL dengan Kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Datin Noormah Mohd Noor berkata pelarasan itu mencerminkan peningkatan kos dalam mengendalikan dan menyelenggara perkhidmatan rel lapangan terbang, selain memastikan kemudahan serta perkhidmatan terus berada pada tahap tinggi untuk jangka panjang.
“Selama ini, KLIA Ekspres dan KLIA Transit terus menyediakan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan selesa, di samping menguruskan peningkatan kos operasi.
“Pelarasan tambang ini akan menyokong usaha kami mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi serta melabur dalam penambahbaikan bagi meningkatkan pengalaman penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengikut struktur tambang baharu, tambang kanak-kanak berusia enam hingga 15 tahun bagi perjalanan sehala antara KL Sentral dan Terminal 1 atau Terminal 2 KLIA ditetapkan RM29, manakala tambang pergi balik bagi dewasa ialah RM118 dan kanak-kanak RM53.
Kanak-kanak bawah enam tahun pula menikmati perjalanan secara percuma.
Bagi sektor lain, tambang dewasa sehala dari KL Sentral ditetapkan RM7.70 ke Bandar Tasik Selatan, RM16.60 ke Putrajaya dan Cyberjaya serta RM21.60 ke Salak Tinggi.
Sementara itu, tambang perjalanan antara stesen perantaraan ialah RM9.50 bagi Bandar Tasik Selatan-Putrajaya dan Cyberjaya, RM14.70 bagi Bandar Tasik Selatan-Salak Tinggi dan RM5.60 bagi Putrajaya dan Cyberjaya-Salak Tinggi.
Tambang antara Bandar Tasik Selatan dan Terminal 1 atau Terminal 2 KLIA pula ditetapkan RM45.40, Putrajaya dan Cyberjaya ke Terminal 1 atau Terminal 2 KLIA RM11.50, manakala Salak Tinggi ke Terminal 1 atau Terminal 2 KLIA RM5.80.
Tambang antara Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA pula ialah RM2.
Bagi kanak-kanak berusia enam hingga 15 tahun, tambang sehala bagi semua sektor ditetapkan antara RM1 hingga RM20.50, bergantung kepada destinasi, manakala kanak-kanak bawah enam tahun kekal percuma.
ERL turut memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan pelbagai rakan niaga bagi menawarkan diskaun tiket eksklusif sehingga 30 peratus mulai Januari 2027, sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada penumpang menikmati penjimatan tambang.
Butiran lanjut mengenai tawaran diskaun itu akan diumumkan selepas pengaturan bersama rakan niaga dimuktamadkan.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-24 perkhidmatan ERL yang menghubungkan KLIA dengan pusat bandar, dengan lebih 141 juta penumpang telah menggunakan perkhidmatan berkenaan setakat ini.