Jey harumkan nama Malaysia dengan rekod dunia ketiga

foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 Julai Atlet kecergasan negara, Jey Prabakaran Thevar sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya memecahkan rekod dunia dan Malaysia Book of Records menerusi cabaran kardio dan angkat berat tanpa henti paling lama selama 18 jam di Kuala Lipis, Pahang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rekod dunia ketiga disempurnakan, menonjolkan ketabahan dan kejayaan berterusan.
  • Kejayaan didedikasikan kepada arwah bapanya, memberi makna emosional yang mendalam.
  • Beralih fokus kepada cabaran Asia dan tiga rekod kebangsaan, terus menjadi inspirasi kepada atlet muda.

Kejayaan itu menyaksikan Jey melakar rekod dunia ketiganya selepas berjaya menamatkan cabaran tanpa henti yang bermula pada pukul 4.00 pagi hingga 11.00 malam pada 28 Jun lalu.

Lebih bermakna, kejayaan itu didedikasikan khas kepada arwah bapanya yang meninggal dunia pada tahun 1999 ketika beliau baru berusia tiga tahun.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyokong saya untuk memecahkan rekod ini, terutama keluarga, rakan-rakan serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang ” katanya.

Jey berkata, kejayaan itu bukan diperoleh dengan mudah kerana beliau terpaksa mengharungi pelbagai cabaran, kritikan dan keraguan sebelum berjaya mencipta sejarah.

Atlet berusia 30 tahun itu kini mengalihkan fokus kepada cabaran seterusnya apabila bakal kembali menjalani latihan dalam tempoh dua hari sebagai persediaan memburu Asia Book of Records pada penghujung Julai ini.

“Perancangan saya seterusnya adalah memecahkan satu lagi rekod Asia pada bulan depan di Kuala Lumpur dan tiga lagi rekod kebangsaan bersempena Hari Sukan Negara di Pahang pada Oktober nanti,” jelasnya.

Kejayaan itu membuktikan semangat juang dan disiplin tinggi Jey terus menjadi inspirasi kepada atlet muda negara untuk berani mencabar had kemampuan serta mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.