
KATHMANDU, 30 September – Banjir besar yang melanda Nepal pada Ogos lalu meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk yang terjejas, termasuk warga Sekolah Menengah Neelakantha di daerah Rasuwa.
- Nama pelajar yang hilang ditanda merah oleh guru, menjadi peringatan setiap hari tentang kehilangan mereka.
- Tragedi menyebabkan kehilangan 70 pelajar dan empat guru sekolah.
- Hampir setiap keluarga kehilangan sekurang-kurangnya seorang ahli, menurut pengetua.
- Data kerajaan: kira-kira 500 pelajar dan 24 guru disenaraikan hilang, 19 sekolah musnah, kos pemulihan melebihi AS$15.47 juta.
Seorang guru di sekolah berkenaan terpaksa menanggung kesedihan setiap kali mengambil kehadiran pelajar apabila nama mereka yang masih hilang ditanda dengan warna merah.
Setiap pagi, tanda merah pada nama pelajar yang tidak lagi hadir menjadi peringatan kepada warga sekolah mengenai tragedi banjir yang meragut dan memisahkan mereka daripada insan tersayang.
Sekolah yang terletak di kawasan lebih tinggi itu bagaimanapun terselamat daripada kerosakan besar, berbanding beberapa sekolah lain di kawasan sekitar.
Namun, tragedi berkenaan mengorbankan atau menyebabkan kehilangan 70 pelajar dan empat guru sekolah tersebut.
Pengetua Sekolah Menengah Neelakantha, Madhav Lamichhane, berkata hampir setiap keluarga di Rasuwa kehilangan sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga dalam bencana berkenaan.
“Semua pelajar dan guru melalui keperitan yang sama,” katanya.
Kebanyakan pelajar Neelakantha yang masih hilang dipercayai sedang dalam perjalanan ke sekolah dari penempatan di tebing sungai ketika banjir melanda.
Guru, Rama Paudel, 36, berkata warga sekolah terus mengenang pelajar yang hilang dalam tragedi berkenaan.
“Kami mengingati dan merindui setiap pelajar yang hilang dengan setiap nafas kami.
“Mereka kehilangan nyawa ketika usia masih begitu muda,” katanya.
Menurut data kerajaan, kira-kira 500 pelajar dan 24 guru masih disenaraikan sebagai hilang di Rasuwa dan daerah bersebelahan, manakala 19 sekolah mengalami kemusnahan.
Kos pemulihan sektor pendidikan di kawasan terjejas dianggarkan melebihi AS$15.47 juta.