Peniaga durian didakwa buat hantaran palsu berkaitan pembekalan bahan api

Tertuduh didakwa secara sedar membuat hantaran dengan niat untuk menyakitkan hati pihak lain menerusi akaun Facebook

SEPANG, 30 Jun – Seorang peniaga durian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berkaitan pembekalan bahan api menerusi media sosial, April lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hantaran dibuat menggunakan akaun Facebook atas nama tertuduh pada 12 April dengan niat menyakitkan hati pihak lain.
  • Pertuduhan dibawa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan hukuman denda hingga RM500,000 atau penjara dua tahun; denda tambahan RM5,000 sehari.
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin; kes disenarai untuk sebutan semula pada 5 Ogos.

Tertuduh, Nurhafizul Badrul Hisham membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pendakwaan, tertuduh didakwa secara sedar membuat hantaran itu dengan niat untuk menyakitkan hati pihak lain menerusi akaun Facebook menggunakan nama Nurhafizul Badrul Hisham pada 12 April.

Hantaran berkenaan kemudian dilihat di Aras 8, Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, MCMC pada 6.48 pagi, 13 April.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh dikenakan denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Pegawai Pendakwa MCMC, Mohamad Farhan Kamarudin mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap, menanggung isteri tidak bekerja,dua anak serta ibu dan bapanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 Ogos ini bagi serahan dokumen.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.