
GURUN, 30 Jun – Belum sampai sebulan selepas dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maut dalam letupan bom tangan di Lapang Sasar Kem Hobart, dua lagi anggota cedera ketika menjalani latihan tembakan di kem sama, petang semalam.
- Siasatan awal: senjata mesingan mengalami masalah teknikal, meletup semasa pemeriksaan, menyebabkan serpihan melenting dan mencederakan anggota.
- Seorang sarjan alami lapan jahitan di paha dan pangkal lutut; penembak berusia 29 tahun cedera pangkal lutut, dirawat di HSAH.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960; ATM juga menubuhkan Lembaga Siasatan selepas letupan bom tangan 16 Jun.
Dalam kejadian terbaharu itu, kedua-dua anggota dipercayai terkena serpihan objek yang melenting akibat masalah teknikal pada senjata mesingan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu tidak berpunca daripada kecuaian, sebaliknya dipercayai berlaku selepas senjata digunakan mengalami masalah teknikal sebelum meletup ketika pemeriksaan dilakukan.
“Semasa latihan tembakan, senjata itu berhenti berfungsi secara tiba-tiba. Ketika diperiksa, berlaku letupan.
“Pemeriksaan doktor mengesahkan kecederaan mangsa bukan akibat tembakan peluru. Berkemungkinan serpihan atau bahan asing seperti batu melenting ketika kejadian itu berlaku,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian bersama Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Fouzi Sulaiman, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejadian membabitkan latihan anggota Briged Ke-30 Infantri dari Kem Bukit Cowder, Kangar, Perlis yang bermula pada 28 Jun lalu dan dijadualkan berakhir Khamis ini.
Dalam kejadian itu, seorang anggota berpangkat sarjan berusia 35 tahun, mempunyai pengalaman sembilan tahun sebagai jurulatih dan telah berkhidmat selama 16 tahun dalam ATM, mengalami kecederaan yang memerlukan lapan jahitan pada bahagian paha kanan, pangkal lutut dan pangkal paha sebelum dibenarkan pulang.
Manakala seorang lagi anggota berusia 29 tahun yang merupakan penembak, cedera pangkal lutut kiri dan masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Mangsa dilaporkan stabil, namun mengalami pendarahan yang banyak dan dipercayai turut mengalami kecederaan pada saraf.
Kedua-dua mangsa menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan ATM di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Sik.
Beliau berkata, siasatan awal bersama pasukan perubatan ATM mendapati kecederaan kedua-dua mangsa adalah konsisten dengan kesan serpihan letupan dan bukan akibat tembakan peluru.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 iaitu nmenyebabkan kecederaan semasa melepaskan tembakan, ” katanya.
Pada insiden sebelum ini, 16 Jun lalu, dua anggota tentera maut dalam letupan bom tangan ketika menjalani latihan di lapang sasar sama.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Susulan insiden berkenaan, ATM turut menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan meneliti prosedur operasi standard (SOP) latihan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.