Subsidi minyak masak cecah RM3.886 bilion, melebihi kutipan levi sawit

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Perbelanjaan kerajaan bagi subsidi minyak masak mencecah RM3.886 bilion sepanjang 2024 hingga 2025, kira-kira RM608 juta lebih tinggi berbanding kutipan levi keuntungan luar biasa industri sawit dalam tempoh sama.

RINGKASAN BERITA AI
  • MOF: kutipan levi bernilai RM3.278 bilion; kerajaan masih tanggung subsidi untuk lindungi rakyat daripada kenaikan MSM.
  • Levi hanya dikenakan terhadap keuntungan melebihi paras ambang harga MSM secara bulanan.
  • Hasil kutipan dipulangkan melalui belanjawan tahunan dan digunakan untuk program bermanfaat termasuk subsidi minyak masak di bawah COSS.
  • Kutipan levi dimasukkan ke Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan mengikut Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, kutipan levi berkenaan berjumlah RM3.278 bilion, namun kerajaan masih menanggung subsidi minyak masak bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran.

Jelas MOF, levi keuntungan luar biasa kelapa sawit hanya dikenakan terhadap keuntungan yang melebihi paras ambang harga MSM secara bulanan.

“Hasil kutipan levi ini kemudiannya diperuntukkan semula melalui belanjawan tahunan.

“Dana ini disalurkan semula untuk membiayai program yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk pemberian subsidi minyak masak di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) pada setiap tahun,” menurut kementerian itu.

Penjelasan itu diberikan menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen bagi menjawab pertanyaan ahli parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin mengenai jumlah kutipan levi industri sawit serta penggunaan hasil berkenaan.

MOF turut menjelaskan, kutipan levi berkenaan merupakan hasil Kerajaan Persekutuan yang dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan selaras dengan Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.