Kerajaan negeri Selangor sedia semak semula ISS, pastikan had bantuan relevan

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada Sidang Khas Dewan Negeri Selangor./ BERNAMA

SHAH ALAM, 23 Jun – Kerajaan negeri Selangor sedia melaksanakan semakan semula program Iltizam Selangor Sihat (ISS) bagi memastikan had bantuan kekal relevan dan prosedur permohonan dipermudahkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri komited memastikan akses kesihatan menyeluruh dan berkualiti, terutama untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
  • Bantuan rawatan dialisis dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 bermula 2025 melalui pengintegrasian BSS ke dalam ISS.
  • Selangor memperkukuh usaha pengembangan tenaga solar sebagai agenda pembangunan rendah karbon dan kelestarian tenaga.
  • Rebat cukai taksiran sehingga 100 peratus ditawarkan kepada pemilik kediaman yang memasang sistem panel solar.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin, berkata kerajaan negeri komited memastikan akses kesihatan yang menyeluruh dan berkualiti kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Berdasarkan kadar manfaat yang disediakan, kerajaan negeri berpandangan bahawa jumlah bantuan yang diberikan adalah setimpal dengan kos rawatan kesihatan semasa.

“Kerajaan Negeri juga telah meningkatkan bantuan rawatan dialisis daripada RM5,000.00 kepada RM10,000.00 bermula tahun 2025 melalui pengintegrasian manfaat daripada Program Bantuan Sihat Selangor (BSS) ke dalam program ISS.

“Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk melaksanakan semakan semula bagi memastikan prosedur bantuan kesihatan dipermudahkan dan had bantuan relevan dengan kos dari semasa ke semasa,” katanya ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada Sidang Khas Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Exco Alam Sekitar Selangor berkata, Selangor terus memperkukuh usaha memperluaskan penggunaan tenaga solar sebagai sebahagian agenda pembangunan rendah karbon dan kelestarian tenaga negeri.

Kerajaan Negeri kini menawarkan rebat cukai taksiran sehingga 100 peratus kepada pemilik kediaman yang memasang sistem panel solar di rumah masing-masing bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu.

Selain itu, Selangor turut bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperluas pelaksanaan pelbagai inisiatif tenaga solar yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat serta agensi kerajaan di negeri ini.

Sehingga tahun 2025, sebanyak 70 bangunan kerajaan di Selangor termasuk bangunan pihak berkuasa tempatan telah berdaftar di bawah skim ‘Net Energy Metering Gomen’ dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 5.69 megawatt.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2.23 megawatt dijana menerusi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah serta Tanah di seluruh Selangor.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.