
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Hampir 70 peratus daripada 87,000 penghuni di 41 institusi penjara seluruh negara ketika ini terdiri daripada individu yang terlibat dalam kes berkaitan dadah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keadaan itu mencerminkan keseriusan masalah penyalahgunaan dadah di negara ini.
“Penjara ada 41, kini menempatkan kira-kira 87,000 penghuni. Daripada jumlah itu, 70 peratus adalah berkaitan dadah, sama ada sebagai pesalah yang telah disabitkan atau masih dalam tahanan reman.
“Kalau kita lihat seperti Penjara Machang, hampir 100 peratus penghuninya berkaitan kes dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong di Dewan Rakyat.
Menurut datuk Seri Saifuddin, angka berkenaan tidak semestinya menggambarkan jumlah sebenar individu yang terlibat memandangkan masih terdapat kes yang tidak dilaporkan.
Mengulas kebimbangan Malaysia menjadi hab pengedaran dadah, beliau berkata pihak berkuasa terus memperkukuh usaha penguatkuasaan termasuk mengekang kemasukan bekalan dadah, memusnahkan makmal dadah serta menumpaskan kumpulan jenayah terancang.