
KUALA LUMPUR, 23 Jun –Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus memantau keberkesanan pusat kitar semula komuniti melalui pelbagai inisiatif termasuk peluasan penggunaan mesin Reverse Vending Machine (RVM) di beberapa negeri.
- Pemantauan oleh syarikat konsesi dan SWCorp untuk menilai penyertaan komuniti serta jumlah sisa dikitar semula.
- Projek rintis pemasangan mesin RVM di kuarters perumahan awam diperluas ke lokasi strategik seluruh negara.
- Mesin RVM dilengkapi ganjaran digital; pusat beli-belah diwajibkan sediakan fasiliti kitar semula, selaras Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran.
Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu pemantauan dilakukan oleh syarikat konsesi dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi menilai tahap penyertaan masyarakat serta jumlah sisa yang berjaya dikitar semula.
“Antara langkah yang dilaksanakan ialah projek rintis penempatan mesin RVM di kuarters perumahan awam termasuk di Apartmen Presint 11, Putra Damai, Putrajaya sebelum diperluas ke lokasi strategik lain,” jelasnya.
Tambah beliau, inisiatif itu membolehkan kerajaan mengumpul data berkaitan kepadatan penduduk dan kadar sisa yang berjaya dikitar semula bagi menilai keberkesanan program yang dilaksanakan.
Sementara itu, beliau memaklumkan mesin RVM telah dipasang di lima zon utama meliputi Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kedah, Perlis, Selangor serta Pahang.
“Kemudahan itu turut dilengkapi sistem ganjaran digital yang membolehkan pengguna menerima pulangan berbentuk nilai ekonomi apabila menghantar bahan kitar semula,” beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat.
Kerajaan turut menetapkan supaya pusat beli-belah menyediakan fasiliti pengumpulan bahan kitar semula bagi memudahkan orang ramai mengakses kemudahan tersebut sama ada berhampiran kawasan kediaman atau lokasi tumpuan awam.
Jelasnya, langkah itu selari dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran yang bertujuan meningkatkan kadar kitar semula negara serta menggalakkan pengurusan sisa lebih mampan dalam kalangan masyarakat.