
PUTRAJAYA, 15 Jun – Penggunaan bahasa yang sopan dan berhemah perlu dijadikan amalan berterusan dalam komunikasi awam bagi mengelakkan salah faham serta memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
- Elakkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja sepanjang masa; bukan hanya semasa kempen.
- Hantaran lama di media sosial berkaitan Ketua Pengarah J-KOM kembali tular dan mencetuskan pelbagai reaksi.
- Warga maya menggesa penjawat awam mematuhi etika dan menggunakan bahasa sesuai untuk mengelak polemik.
- J-KOM berperanan menyelaras komunikasi strategik kerajaan dan menyampaikan maklumat dasar serta inisiatif kepada rakyat.
Beliau berkata, semua pihak perlu mengelakkan penggunaan bahasa yang tidak sesuai dan sentiasa menjaga sensitiviti dalam setiap bentuk komunikasi.
“Nasihat saya, saya berharap semua pihak tidak menggunakan bahasa yang tidak sopan. Kita juga perlu mengelakkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R), bukan sahaja ketika kempen tetapi sepanjang masa.
“Saya percaya amalan ini amat diperlukan dan wajar digalakkan demi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya ketika diminta mengulas isu yang timbul berhubung penggunaan bahasa oleh Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang baru dilantik, Mohd Hisyamuddin Ghazali.
Terdahulu, beliau merasmikan Dialog Industri Media bertajuk “Mengimbangi Viraliti dan Tanggungjawab: Kewartawanan, Kepantasan, Kepercayaan dan Impak”
anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini, hari ini.
Beliau menambah, setakat ini beliau belum mengadakan sebarang pertemuan dengan Mohd Hisyamuddin bagi membincangkan perkara berkenaan.
Isu itu tercetus selepas beberapa hantaran lama di media sosial yang dikaitkan dengan Mohd Hisyamuddin kembali tular dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial susulan pelantikannya sebagai Ketua Pengarah J-KOM.
Susulan itu, warga maya menggesa agar komunikasi melibatkan penjawat awam dan pemegang jawatan penting kerajaan sentiasa mematuhi etika serta menggunakan bahasa yang sesuai bagi mengelakkan polemik yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
J-KOM merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi yang berperanan menyelaras komunikasi strategik kerajaan serta menyampaikan maklumat dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat.