Graduan perlu kuasai kemahiran baharu seiring keperluan industri – UM

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Profesor Dr Zamri Radzi

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Graduan institusi pendidikan tinggi perlu melengkapkan diri dengan kemahiran bersesuaian bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran pekerjaan yang semakin dinamik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lihat kebolehpasaran graduan secara menyeluruh, termasuk perubahan keperluan industri dan keupayaan mahasiswa menyesuaikan diri.
  • Kualiti pendidikan tinggi berpengiktirafan antarabangsa, melalui kecemerlangan akademik, sahsiah dan kepimpinan, memastikan relevansi.
  • Sediakan peluang mobiliti antarabangsa, termasuk bagi mahasiswa OKU, untuk pembangunan pengalaman sebelum memasuki alam pekerjaan.
  • Kerjasama berterusan dengan industri, alumni dan program seperti Job Fest penting untuk peluang temu duga serta gambaran keperluan pasaran kerja.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Zamri Radzi berkata, aspek kebolehpasaran graduan perlu dilihat secara menyeluruh kerana selain kualiti pendidikan, ia turut dipengaruhi oleh perubahan dalam keperluan industri serta keupayaan mahasiswa menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.

Menrutnya, kualiti pendidikan tinggi negara yang terus mendapat pengiktirafan antarabangsa membuktikan standard pengajian Malaysia kekal relevan.

“Kualiti pendidikan ini adalah satu perkara yang penting kerana itu adalah perkara yang dipersiapkan oleh universiti untuk memastikan setiap graduannya relevan dan juga mengikuti perubahan dinamik yang diperlukan.

“Kita perlu lihat dalam konteks antarabangsa juga kerana pada akhirnya ia akan memberikan satu impak kepada kebolehpasaran dan memastikan pelajar kekal relevan dalam apa yang mereka lakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program terbitan RTM, Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Menurut Profesor Dr Zamri, universiti memainkan peranan penting dalam menyediakan graduan bukan sahaja melalui kecemerlangan akademik, malah menerusi pembangunan sahsiah, kepimpinan serta pelbagai bentuk pendedahan.

Bagi UM, peluang diberikan kepada mahasiswa untuk mengikuti program mobiliti antarabangsa bersama institusi rakan strategik luar negara sebagai persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan.

“Pendekatan itu turut melibatkan mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memastikan peluang pembangunan dan pengalaman antarabangsa diberikan secara inklusif kepada seluruh warga mahasiswa,” jelasnya.

Dalam usaha memperkukuh hubungan dengan industri, UM turut melaksanakan karnival kerjaya ‘Job Fest’, sebagai platform menghubungkan mahasiswa dengan majikan serta membuka peluang kerjaya.

Program itu memberi ruang kepada mahasiswa untuk bertemu pihak industri, menjalani temu duga secara terus serta mendapatkan gambaran sebenar berkaitan keperluan pasaran pekerjaan.

Profesor Dr Zamri berkata, kerjasama berterusan antara universiti dengan industri dan alumni penting bagi memastikan graduan yang dihasilkan kekal relevan, sekali gus mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.