MTA sokong CERMAT MADANI, galak pemanduan selamat melalui pemberian insentif

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menyokong pelaksanaan CERMAT MADANI sebagai usaha menggalakkan pemanduan lebih selamat menerusi penawaran harga insurans dan takaful motor yang lebih adil berasaskan risiko.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohd Radzuan menegaskan pendekatan MOT bukan semata-mata diskaun tetapi membentuk tingkah laku positif pengguna jalan raya.
  • Inisiatif memberi ganjaran kepada pemandu berhemah melalui pelarasan harga berasaskan risiko dan penyesuaian premium.
  • MTA komited bekerjasama dengan kementerian serta menggalakkan penyertaan lebih meluas pengendali insurans dan takaful.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Radzuan Mohamed berkata, pendekatan Kementerian Pengangkutan (MOT) itu bukan hanya tertumpu kepada pengurangan harga atau diskaun, malah turut membentuk tingkah laku positif pengguna jalan raya.

Menurutnya, inisiatif berkenaan membolehkan pemandu berhemah diberi insentif yang lebih sesuai, sejajar dengan konsep harga berasaskan risiko.

“Kami di MTA melihat pendekatan yang diambil ini lebih ke arah pemberian ganjaran melalui pelarasan harga.

”Sebelum ini, pendekatan lebih tertumpu kepada aspek penguatkuasaan, tetapi kini ia turut memberi galakan kepada pemandu yang mempunyai rekod pemanduan baik.

“Konsep ini satu inisiatif yang positif dan diharap dapat membantu menjadikan jalan raya di Malaysia lebih selamat,” katanya dalam sidang media selepas Pengumuman Prestasi Industri Takaful 2025 di sini.

Mohd Radzuan berkata persatuan itu komited untuk bekerjasama dengan kementerian terlibat bagi menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut dan menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada pengendali insurans serta takaful.

Pada 9 Jun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke melancarkan inisiatif CERMAT MADANI yang membolehkan pemilik kenderaan menikmati rebat premium hingga 10 peratus apabila memperbaharui insurans menerusi aplikasi MyJPJ.

Inisiatif bersama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ)  dan syarikat insurans itu diperkenalkan bagi mengurangkan beban kos pemilikan kenderaan serta mengiktiraf pemandu yang mengamalkan pemanduan selamat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.