Israel halang pegawai Pilihan Raya Palestin masuk Baitulmaqdis, Gaza

Foto AFP

RAMALLAH, 7 Oktober – Israel tidak membenarkan pegawai pilihan raya Palestin memasuki Baitulmaqdis Timur atau Gaza bagi membuat persiapan menjelang pilihan raya legislatif, menurut agensi berita rasmi Palestin, Wafa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebimbangan timbul bahawa pilihan raya 28 November mungkin ditangguhkan seperti pada 2021.
  • Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat berkata pilihan raya masih boleh diteruskan; kakitangan di Gaza dilatih dan bersedia.
  • Kesatuan Eropah bersedia menghantar pemerhati; Kaja Kallas tekankan hak rakyat Palestin mengundi secara telus dan inklusif.

Tindakan itu meningkatkan kebimbangan pilihan raya yang dijadualkan pada 28 November mungkin ditangguhkan, seperti yang berlaku pada 2021.

Jika diteruskan, pilihan raya berkenaan akan menjadi yang pertama dalam tempoh dua dekad.

“Israel enggan membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat memasuki Gaza dan Baitulmaqdis bagi menyelia persiapan pilihan raya legislatif,” lapor agensi berita Wafa, memetik seorang pegawai Palestin.

Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin, Farid Taamallah, berkata pilihan raya masih boleh diteruskan.

“Suruhanjaya terus menguruskan proses pilihan raya walaupun terdapat keputusan Israel itu,” katanya sambil memaklumkan kakitangan suruhanjaya di Gaza telah dilatih dan bersedia di lapangan.

Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) menyatakan kesediaan menghantar pemerhati pilihan raya bagi memantau proses berkenaan.

Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas, berkata rakyat Palestin berhak memilih wakil mereka menerusi pilihan raya yang telus, inklusif dan berwibawa.

Pilihan raya legislatif terakhir di wilayah Palestin berlangsung pada 2006, ketika Hamas memenanginya dengan menewaskan parti Fatah pimpinan Abbas yang sebelum itu mendominasi politik Palestin.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.