Koop Sahabat umum dividen 10%, tahun kelima berturut-turut

FOTO KOOP SAHABAT

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad mengekalkan agihan dividen pada kadar 10 peratus bagi tahun kelima berturut-turut, susulan prestasi kewangan melonjak dengan keuntungan bersih RM32.10 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah agihan keseluruhan RM12.7 juta memberi manfaat kepada 466,725 anggota di seluruh negara.
  • Perolehan kumpulan meningkat 46% kepada RM153.59 juta, mencerminkan prestasi kewangan yang kukuh.
  • Aktiviti Sahabat Ar Rahnu mencatat pertumbuhan 85% kepada RM68.49 juta, penyumbang utama lonjakan pendapatan.
  • Melancarkan Kempen Kembara Emas Sahabat Ar Rahnu 2026 dengan ganjaran RM60,000, berlangsung 1 Jun hingga 31 Disember 2026.

Pengekalan kadar dividen tersebut melibatkan jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM12.7 juta, yang bakal memberi manfaat langsung kepada 466,725 orang anggota di seluruh negara.

Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, prestasi cemerlang ini disokong penuh oleh peningkatan perolehan kumpulan sebanyak 46 peratus kepada RM153.59 juta, berbanding RM104.84 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

“Lonjakan itu terutamanya disumbangkan oleh aktiviti perniagaan Sahabat Ar Rahnu yang merekodkan pertumbuhan drastik sebanyak 85 peratus, iaitu meningkat daripada RM37.05 juta kepada RM68.49 juta,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Kali Ke-13 di sini, baru-baru ini.

Persidangan tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B), Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Bagi meraikan pertumbuhan luar biasa itu serta tanda penghargaan kepada pelanggan, Koop Sahabat turut melancarkan Kempen Kembara Emas Sahabat Ar Rahnu 2026 yang menawarkan nilai ganjaran keseluruhan berjumlah RM60,000.

Kempen tersebut dijadualkan berlangsung bermula 1 Jun sehingga 31 Disember 2026.

Selain diiktiraf di peringkat domestik dengan dinobatkan sebagai Koperasi Ke-5 Terbaik di Malaysia bagi tahun 2025 oleh SKM, Koop Sahabat juga turut menerima pelbagai anugerah pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.