PETRONAS-Eni tubuh Searah, perkukuh keselamatan tenaga serantau

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Jun PETRONAS dan syarikat tenaga global dari Itali, Eni, menubuhkan syarikat usaha sama dikenali sebagai Searah bagi menggabungkan aset terpilih kedua-dua syarikat di Malaysia dan Indonesia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh nilai portfolio, mempercepat pembangunan tenaga mampan dan meningkatkan keselamatan bekalan tenaga serantau.
  • Memanfaatkan keupayaan saling melengkapi untuk mendalamkan operasi, kekuatan kewangan dan kapasiti pertumbuhan memenuhi keperluan tenaga secara boleh dipercayai.
  • Komitmen tinggi terhadap perlindungan alam sekitar, inovasi teknologi dan menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.

Penubuhan Searah adalah sebagai langkah strategik untuk memperkukuh nilai portfolio, mempercepat pembangunan tenaga mampan serta meningkatkan keselamatan bekalan tenaga di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, ia juga selaras dengan tumpuan PETRONAS untuk mengamalkan disiplin yang lebih tinggi dalam pembangunan sumber, penyaluran modal yang lebih tangkas serta penekanan terhadap penciptaan nilai berterusan merentasi rantaian nilai gas.

“Dengan memanfaatkan portfolio dan keupayaan saling melengkapi antara PETRONAS dan Eni, Searah dijangka membawa kedalaman operasi, daya tahan kewangan dan kapasiti pertumbuhan kedua-dua rakan kongsi dalam memenuhi keperluan tenaga rantau ini secara boleh dipercayai dan bertanggungjawab.

“Pada masa sama, ia turut menyumbang kepada jaminan bekalan tenaga jangka panjang di Indonesia dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Eni, Claudio Descalzi, berkata Searah mencerminkan strategi satelit syarikat itu yang terbukti berjaya dalam membangunkan perniagaan berkualiti tinggi yang menggabungkan skala, kecekapan dan pertumbuhan, didorong oleh kecemerlangan dalam penerokaan, pelaksanaan projek, teknologi dan inovasi.

“Searah merupakan entiti baharu yang kukuh di Asia Tenggara serta yang pertama dan terbesar seumpamanya di rantau ini.

“Ia menggabungkan kepakaran Eni dan PETRONAS untuk menyokong pembangunan sumber tenaga di Indonesia dan Malaysia dengan komitmen tinggi terhadap perlindungan alam sekitar serta pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya.

Penubuhan Searah merupakan kesinambungan kepada Memorandum Persefahaman yang dimeterai pada Februari 2025 serta Perjanjian Pelaburan yang ditandatangani pada November tahun sama, selepas memperoleh semua kelulusan kawal selia, kerajaan dan rakan kongsi yang diperlukan.

Searah memulakan operasi dengan portfolio 19 aset pengeluaran dan pembangunan gas, melibatkan 14 aset di Indonesia dan lima aset di Malaysia.

Syarikat itu mempunyai kapasiti pengeluaran awal kira-kira 300,000 tong setara minyak sehari dan menyasarkan pengeluaran mampan melebihi 500,000 tong setara minyak sehari dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.