83 peratus perancang kewangan global yakin AI tingkat mutu perkhidmatan

Foto AI

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Sebanyak 83 peratus perancang kewangan global percaya penggunaan kecerdasan buatan (AI) mampu meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan, sekali gus memperluas akses kepada perancangan kewangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • 75 peratus perancang percaya AI mampu meningkatkan kualiti nasihat kewangan berbanding tahun sebelumnya.
  • Tujuh daripada 10 perancang jangka AI memperluas akses perancangan kewangan kepada golongan kurang mendapat perkhidmatan.
  • AI dijangka mengurangkan kos nasihat, meningkatkan kecekapan operasi dan analisis pasaran, membolehkan perancang melayani lebih ramai pelanggan.

Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) berkata, kadar itu meningkat daripada 78 peratus pada 2025 berdasarkan kajian global terbaharu Financial Planning Standards Board Ltd. (FPSB).

“Antara dapatan utama kajian menunjukkan 75 peratus perancang kewangan percaya AI mampu meningkatkan kualiti nasihat kewangan, berbanding 60 peratus pada tahun sebelumnya.

“Selain itu, tujuh daripada 10 perancang menjangkakan AI dapat meningkatkan akses kepada perancangan kewangan dalam kalangan golongan yang kurang mendapat perkhidmatan, meningkat daripada enam daripada 10 pada 2025,” katanya dalam kenyataan.

Kajian bertajuk Kesan AI terhadap Perancangan Kewangan Edisi Kedua itu meneliti peranan teknologi itu dalam membentuk cara masyarakat mendapatkan maklumat kewangan serta kaedah perancang kewangan membantu pelanggan.

FPAM memaklumkan, sebanyak 68 peratus perancang kewangan turut percaya AI mampu mengurangkan kos mendapatkan khidmat nasihat kewangan, meningkat daripada 59 peratus pada 2025.

“AI semakin digunakan bagi meningkatkan kecekapan operasi, menyokong analisis pasaran serta membolehkan perancang kewangan memberikan perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan,” katanya.

Bagaimanapun, persatuan itu menegaskan teknologi semata-mata tidak mampu menggantikan pertimbangan profesional, tanggungjawab etika serta pemahaman terhadap keperluan manusia yang diberikan oleh profesional perancangan kewangan.

Menurut FPAM, majoriti pelanggan juga membawa maklumat yang dijana AI ke dalam perbincangan berkaitan kewangan, sekali gus meningkatkan kepentingan peranan profesional yang berpegang kepada standard kompetensi dan etika yang tinggi.

Susulan itu, orang ramai digalakkan berbincang dengan perancang kewangan masing-masing mengenai sebarang maklumat kewangan yang dijana AI sebelum menggunakannya sebagai asas dalam membuat keputusan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.