
KAHERAH, 7 Jun – Hamas mengesahkan bahawa pihaknya memulakan siri rundingan di Kaherah bersama pelbagai kumpulan Palestin dan pihak pengantara bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.
- Fokus perbincangan pada pelaksanaan perkara dipersetujui dalam fasa pertama, termasuk hentikan serangan Israel, buka sempadan, benarkan Jawatankuasa Kebangsaan Palestin.
- Perbincangan fasa kedua tumpu pada mekanisme pelaksanaan seperti kemungkinan penempatan pasukan antarabangsa atau jawatankuasa teknokratik.
- Isu utama lain termasuk pelucutan senjata Palestin dan usaha pembinaan semula Gaza yang masih belum dilaksana.
- Hamas menegaskan kepentingan rakyat Palestin sebagai keutamaan dan cuba elak sebarang perkembangan jadi alasan menyambung semula peperangan.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata fokus rundingan itu tertumpu kepada perkara yang dipersetujui dalam fasa pertama perjanjian berkenaan.
Ini termasuk menghentikan serangan Israel, membuka semula pintu masuk sempadan serta membenarkan kemasukan Jawatankuasa Kebangsaan Palestin.
“Perbincangan seterusnya akan memberi tumpuan kepada usaha mencari pendekatan yang boleh diterima semua pihak bagi melaksana fasa kedua perjanjian.
Antara isu utama yang akan dibincangkan termasuk kemungkinan penempatan pasukan antarabangsa atau jawatankuasa teknokratik bagi mentadbir Gaza, selain isu pelucutan senjata Palestin,” katanya.
Qassem turut memaklumkan, Hamas meletakkan kepentingan rakyat Palestin sebagai keutamaan dan berusaha mengelak sebarang perkembangan yang boleh dijadikan alasan untuk menyambung semula peperangan di Gaza.
Delegasi Hamas yang diketuai pemimpinnya di Gaza, Khalil al-Hayya, bersama wakil beberapa kumpulan Palestin lain tiba di Kaherah pada Jumaat untuk rundingan tersebut yang dijangka berlangsung selama beberapa hari.
Perkembangan itu berlaku ketika gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang berkuat kuasa sejak Oktober 2025 berdepan cabaran berterusan, dengan beberapa perkara utama termasuk pelucutan senjata dan usaha pembinaan semula Gaza masih belum dilaksana.
Fasa pertama perjanjian sebelum ini merangkumi pertukaran tahanan dan banduan, kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza serta pengunduran tentera Israel dari beberapa kawasan tertentu.
Pada pertengahan Januari lalu, Amerika Syarikat mengumumkan permulaan fasa kedua gencatan senjata yang merangkumi beberapa perkara.
Ia meliputi pengunduran penuh tentera Israel, pelucutan senjata Hamas, usaha pembinaan semula Gaza serta penubuhan badan pentadbiran peralihan bagi mentadbir wilayah itu. – REUTERS