TNG Digital sasar jadi teman digital harian rakyat Malaysia

TNG Digital terus memperkukuh pengalaman pengguna menerusi inovasi digital dan AI/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Keperluan pengguna yang mahukan urusan harian lebih pantas, mudah dan lancar dijangka terus mempengaruhi hala tuju platform serta perkhidmatan kewangan digital pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • TNG Digital meneroka penggunaan AI untuk memperkukuh pengalaman pengguna dan meningkatkan perkhidmatan.
  • Pengguna semakin bergantung kepada teknologi untuk maklumat pantas dan penyelesaian urusan harian seperti sistem sembang automatik.
  • TNG Digital membina platform sebagai teman digital harian, bukan sekadar e-dompet.
  • Perkhidmatan diperluas meliputi kewangan, perjalanan, ganjaran dan urusan harian untuk menyokong ekosistem digital negara.

Ketua Pegawai Produk dan Pertumbuhan TNG Digital, Chiew Wei Wing berkata, perubahan itu mendorong syarikatnya untuk terus menambah baik pengalaman pengguna, termasuk meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Menurut beliau, pengguna kini bukan sahaja menggunakan platform digital untuk membuat pembayaran, malah semakin bergantung kepada teknologi bagi mendapatkan maklumat serta menyelesaikan pelbagai keperluan harian.

“Semua orang kini cuba menggunakan bantuan tertentu seperti sistem sembang automatik atau kaedah lain untuk mendapatkan maklumat dengan sangat pantas. Pengguna kini kurang meneroka, sebaliknya mahu jawapan dan penyelesaian yang cepat,” katanya dalam sidang media selepas Taklimat Media TNG Digital 2026.

Tambahnya, syarikatnya juga terus meneroka penggunaan AI bagi memperkukuh pengalaman pengguna bagi menambahbaik perkhidmatannya.

Katanya, hala tuju syarikat kini bukan sekadar menyediakan e-dompet, sebaliknya membangunkan platform yang berperanan sebagai teman digital harian kepada rakyat Malaysia.

Menurut beliau, perkembangan itu selari dengan evolusi TNG Digital yang kini melangkaui perkhidmatan pembayaran dengan menawarkan pelbagai kemudahan termasuk perkhidmatan kewangan, perjalanan, ganjaran dan urusan harian.

TNG Digital melihat perubahan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem digital negara, selain menyokong peralihan pengguna kepada penyelesaian kewangan yang lebih mudah, selamat dan relevan dengan keperluan semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.