Ekonomi Vietnam berkembang 9.95 peratus pada suku ketiga

Foto AFP

HANOI, 3 Oktober – Pertumbuhan ekonomi Vietnam melonjak kepada 9.95 peratus pada suku ketiga tahun ini, meningkat daripada 8.81 peratus pada suku sebelumnya, sekali gus mencatatkan kadar pertumbuhan terpantas dalam tempoh empat tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran pertumbuhan dua angka dalam tempoh lima tahun akan datang.
  • Ekonomi sembilan bulan pertama 2026 berkembang 9.01 peratus, kadar terpantas dalam 15 tahun.
  • Eksport meningkat 24.5 peratus manakala import melonjak 36.7 peratus tahun ke tahun.
  • ADB naikkan unjuran KDNK 2026 kepada 7.8 peratus berasaskan pembuatan, penggunaan domestik dan FDI, namun beri amaran risiko global.

Menerusi rekod Pejabat Perangkaan Negara Vietnam, negara itu menyasarkan pertumbuhan ekonomi dua angka dalam tempoh lima tahun akan datang.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, ekonomi Vietnam berkembang 9.01 peratus, kadar terpantas bagi tempoh berkenaan dalam tempoh 15 tahun.

Eksport meningkat 24.5 peratus tahun ke tahun, manakala import melonjak 36.7 peratus.

Vietnam merekodkan pertumbuhan tahunan lapan peratus tahun lalu, antara yang tertinggi di dunia meskipun berdepan tarif baharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).

Bank Pembangunan Asia (ADB) pada September lalu menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Vietnam bagi 2026 kepada 7.8 peratus, berbanding 7.2 peratus yang diunjurkan pada Julai.

Menurut ADB, pertumbuhan itu disokong pengembangan berterusan sektor pembuatan, penggunaan domestik yang kukuh serta kemasukan pelaburan langsung asing yang berterusan.

Bagaimanapun, ADB memberi amaran bahawa permintaan global yang lebih lemah dan ketidaktentuan geopolitik boleh memberi tekanan terhadap pertumbuhan ekonomi Vietnam.

Pada September, FTSE Russell menaik taraf pasaran saham Vietnam kepada status pasaran sedang pesat membangun sekunder (secondary emerging market).- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.