Orang ramai sokong gesaan beri ruang kepada Tun M, keluarga lalui tempoh duka

Tun Dr Mahathir ditenangkan ahli keluarga ketika menziarahi pusara isterinya Tun Dr Siti Hasmah / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Orang ramai menyokong gesaan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarganya diberi ruang serta masa untuk melalui tempoh berduka susulan pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hormati privasi keluarga; elakkan berkongsi gambar atau video ketika mereka berduka.
  • Sokongan boleh dizahirkan dari jauh melalui doa dan bacaan Yasin tanpa menghasilkan kandungan berlebihan.
  • Pencipta kandungan dan pengguna media sosial harus utamakan adab, pertimbangan dan sifat kemanusiaan.
  • Jangan sebarkan kandungan spekulatif atau berasaskan AI yang tidak sensitif; laporkan kepada MCMC atau polis.

Mereka berpandangan privasi keluarga perlu dihormati, khususnya ketika gambar, video dan siaran langsung mudah tersebar menerusi media sosial.

Nurul Shahiera berkata, masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam berkongsi kandungan melibatkan keluarga yang sedang berdepan kehilangan insan tersayang.

“Sekarang ini kita lihat internet sudah berleluasa, dengan banyak siaran langsung, gambar dan video dimuat naik. Dalam keadaan seperti ini, kita perlu memberikan sedikit ruang kepada keluarga untuk meratapi dan mengenang kesedihan.

“Jika perkara seperti itu dipaparkan secara umum, saya rasa ia kurang bersesuaian dalam konteks mereka sedang berduka,” katanya.

Menurutnya, sokongan masih boleh dizahirkan dari jauh termasuk menerusi doa tanpa perlu hadir secara fizikal.

“Saya rasa ada pelbagai bentuk sokongan yang boleh kita lakukan. Kita boleh berdoa dari jauh. Tidak semestinya kita perlu hadir untuk meratapi kesedihan, sebaliknya lebih kepada berdoa dan menghormati ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata, kehilangan insan tersayang memberi kesan mendalam dan masyarakat wajar memahami keperluan keluarga untuk mempunyai ruang peribadi.

“Kehilangan orang yang kita sayang memang memberi kesan yang sangat mendalam. Jadi kita sebagai masyarakat perlulah beri ruang kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga, serta memberikan sokongan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, sokongan juga boleh dizahirkan secara sederhana termasuk membaca Yasin dan mendoakan mereka dari jauh tanpa menghasilkan terlalu banyak kandungan berkaitan kesedihan keluarga.

Pandangan sama dikongsi Nurul Aiman Atira yang menyifatkan perkongsian gambar seseorang ketika sedang menangis atau bersedih sebagai sesuatu yang perlu dielakkan.

“Saya setuju sebab privasi itu perlu dihormati, terutama apabila seseorang kehilangan insan yang disayangi.

“Kita sebagai masyarakat tidak sepatutnya memuat naik gambar seseorang yang sedang menangis atau bersedih kerana mereka perlu ruang dan masa untuk menerima kehilangan tersebut,” katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menggesa pencipta kandungan, pempengaruh dan pengguna media sosial mengutamakan adab, pertimbangan serta sifat kemanusiaan ketika menghasilkan kandungan berkaitan Tun Dr Mahathir dan keluarganya.

Datuk Seri Fahmi berkata, tidak semua perkembangan perlu dikejar untuk dijadikan berita atau kandungan media sosial, selain meminta semua pihak menghormati permintaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir supaya keluarga diberikan ruang dan privasi.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan kandungan spekulatif, kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang tidak sensitif atau kenyataan tidak sepatutnya, sebaliknya melaporkannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.