
GUA MUSANG, 4 Jun – Seorang lelaki patah kaki manakala empat lagi individu cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran sebuah kuari di sini, tengah hari tadi.
- Kemalangan melibatkan tiga kenderaan: Perodua Alza dari Chiku, Toyota Vios dan Perodua Ativa menghala ke Kuala Lumpur.
- Pasukan bomba menerima panggilan MERS 999, menghantar sebuah jentera dan enam anggota, tiba di lokasi pada 12.44 tengah hari.
- Semua mangsa diserahkan kepada ambulans KKM untuk rawatan di Hospital Gua Musang; operasi bomba tamat pada 1.56 petang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.23 tengah hari itu, sebuah Perodua Alza yang dalam perjalanan dari Chiku menghala ke bandar Gua Musang dipercayai terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Toyota Vios dan Perodua Ativa yang masing-masing dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 sebelum sebuah jentera bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, setibanya pasukan bomba pada pukul 12.44 tengah hari, didapati kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan dengan lima mangsa berusia antara 20-an hingga 30-an telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Pemandu wanita yang menaiki Perodua Ativa mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu lelaki Toyota Vios patah kaki. Tiga lagi mangsa lelaki yang menaiki Perodua Alza turut cedera ringan,” katanya ketika dihubungi.
Semua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Gua Musang.
Pasukan bomba turut menjalankan kerja mengangkat mangsa serta membersihkan sisa kemalangan bagi memastikan laluan selamat digunakan. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.56 petang.