
IPOH, 16 Mei – Kerajaan meluluskan peningkatan peruntukan perolehan kerja Kementerian Pendidikan daripada RM400 juta kepada RM900 juta bagi memperkukuh kemudahan pendidikan di seluruh negara.
- Peruntukan tambahan digunakan untuk pembinaan 6,000 bilik darjah baharu termasuk bagi pendidikan awal kanak-kanak.
- Langkah diambil untuk menangani kekurangan ruang pembelajaran, khususnya menampung kemasukan murid Tahun Satu.
- Kerajaan mengeluarkan 100 Surat Setuju Terima untuk pelaksanaan projek pembinaan bilik darjah tambahan.
- Peruntukan naik taraf bilik guru dinaikkan daripada RM100 juta kepada RM200 juta, baik pulih kuarters guru daripada RM60 juta kepada RM110 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan itu akan digunakan untuk pembinaan 6,000 bilik darjah baharu termasuk bagi menampung keperluan pendidikan awal kanak-kanak.
Menurut beliau, langkah berkenaan diambil bagi memastikan isu kekurangan ruang pembelajaran di sekolah dapat ditangani lebih awal, khususnya bagi kemasukan murid Tahun Satu.
“Penekanan kita ialah kepada bilik darjah tambahan, sebelum ini RM400 juta untuk 2,500 bilik darjah di lebih 800 sekolah, kini kita tambah lagi bagi memastikan ruang pembelajaran mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak, di sini, hari ini.
Tambahnya, peningkatan peruntukan itu juga melibatkan pengeluaran 100 Surat Setuju Terima (SST) bagi pelaksanaan projek pembinaan bilik darjah tambahan.
Selain itu, kerajaan turut menaikkan peruntukan naik taraf bilik guru daripada RM100 juta kepada RM200 juta, serta peruntukan baik pulih kuarters guru daripada RM60 juta kepada RM110 juta.