
KEDAH, 16 Mei – Kira-kira 50,000 pelajar daripada sekolah pondok dan tahfiz persendirian yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri atau JAKIM akan mendapat manfaat melalui pelaksanaan laluan khas kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
- Laluan khas kemasukan IPTA diperkenal untuk pelajar pondok dan tahfiz persendirian yang tidak melalui laluan akademik konvensional.
- Penilaian berdasarkan kelayakan alternatif seperti pengajian pondok, sijil luar negara dan pencapaian akademik lain yang diiktiraf.
- Kerajaan tekankan meritokrasi; calon dengan SPM atau mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang diiktiraf boleh dipertimbangkan mengikut syarat IPTA.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, inisiatif tersebut merupakan penambahbaikan besar dalam sistem kemasukan pelajar aliran agama ke IPTA, khususnya bagi mereka yang tidak melalui laluan akademik konvensional seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut beliau, pelajar pondok persendirian akan dinilai berdasarkan kelayakan alternatif seperti pengajian pondok, sijil luar negara serta pencapaian akademik lain yang diiktiraf, selaras dengan keperluan semasa pendidikan tinggi negara.
“Pelajar-pelajar ini tidak mendapat pendidikan akademik yang setara dengan SPM, jadi kita beri peluang berdasarkan kelayakan yang mereka ada sama ada dari universiti luar negara, sistem pondok dan sebagainya sebagai asas kemasukan ke universiti awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Temu Siswa Zon Utara bersama beliau di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah di Merbok hari ini.
Tambahnya, angka 50,000 pelajar itu merupakan peningkatan signifikan berbanding kira-kira 9,000 pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang menggunakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam laluan kemasukan IPTA.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa isu berkenaan tidak wajar dipolitikkan kerana kerajaan kekal komited memperkukuh sistem pendidikan negara berasaskan meritokrasi dan syarat yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Kabinet sebelum ini turut memutuskan bahawa calon aliran pondok yang memiliki SPM penuh boleh memohon program pengajian melalui sistem UPUOnline berdasarkan kiraan merit, tertakluk kepada syarat am dan syarat khas universiti.
Sementara itu, bagi calon yang mempunyai mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang diperakui Lembaga Peperiksaan Malaysia, mereka juga boleh dipertimbangkan untuk program tertentu di IPTA mengikut kesesuaian bidang serta keperluan semasa negara.
Program berkenaan turut disertakan dengan sesi dialog bersama mahasiswa yang membincangkan isu semasa dan kebajikan pelajar, yang menurut Adam Adli Abd Halim sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.