
KOTA BHARU, 16 Mei – UMNO dan Barisan Nasioanl (BN) disaran bertanding sendiri sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung tidak lama lagi.
- Khairy mencadangkan UMNO dan BN bertanding secara solo bagi PRN Johor kerana negeri ditadbir BN melalui UMNO.
- Pembubaran DUN Johor dilihatnya peluang terbaik menguji kekuatan UMNO dan BN tanpa kerjasama politik lain.
- Khairy mengingatkan UMNO agar tidak mengharapkan populariti individu, sebaliknya perkuat gerak kerja dan tawarkan pendekatan serta idea baharu.
Bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin berkata langkah itu wajar memandangkan kerajaan negeri Johor ketika ini merupakan kerajaan pimpinan BN yang diterajui UMNO, dan bukannya Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan.
Menurut Khairy, sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan, ia boleh menjadi medan terbaik untuk menguji kekuatan sebenar UMNO dan BN tanpa kerjasama politik dengan mana-mana pihak lain.
“Dalam konteks Johor, tidak timbul soal Kerajaan Perpaduan atau gabungan dengan PH kerana ia memang kerajaan BN yang dipimpin UMNO. Jadi adalah lebih wajar untuk UMNO dan BN bertanding secara solo mempertahankan mandat sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun ke-80 UMNO peringkat Bahagian Ketereh di sini, hari ini.
Mengulas perkembangan semasa dan momentum pemulihan UMNO susulan penyertaan semula beberapa tokoh termasuk dirinya serta Hishammuddin Hussein, Khairy mengingatkan agar parti tidak terlalu selesa dengan keadaan semasa.
Katanya, UMNO tidak boleh bergantung kepada populariti individu semata-mata untuk meraih sokongan rakyat, sebaliknya perlu memperkukuh gerak kerja, membawa pendekatan baharu serta menawarkan idea segar kepada pengundi.
“Parti perlu bekerja lebih kuat dan meyakinkan rakyat jika mahu kembali memperoleh kepercayaan mereka,” katanya.