Lebih 800 penternak di Melaka daftar tag QR haiwan ternakan

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh/ Foto BERNAMA

MELAKA, 16 Mei Lebih 800 daripada 1,200 penternak di negeri Melaka telah mendaftar penggunaan tag QR bagi haiwan ternakan, sekali gus menunjukkan projek rintis pendigitalan sektor ternakan di negeri itu mencapai sasaran awal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif tag QR diterima baik oleh penternak dan berpotensi diperluaskan ke masa hadapan.
  • Sistem bukan untuk menghukum, tetapi memudahkan pengesanan haiwan hilang dan meningkatkan keselamatan awam.
  • Data terkumpul merangkumi jumlah ternakan, jenis, pengeluaran daging dan susu serta baka untuk pengurusan terancang.
  • Pemasangan tag percuma tahun ini; mulai 2027 caj RM5 seekor. Fasa awal melibatkan lembu dan kerbau.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pencapaian tersebut membuktikan inisiatif berkenaan diterima baik oleh golongan penternak serta berpotensi diperluaskan pada masa akan datang.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan sistem tag QR itu bukan bertujuan menghukum penternak, sebaliknya memudahkan proses pengesanan sekiranya berlaku kehilangan atau kejadian tidak diingini melibatkan haiwan ternakan.

Menurutnya, kaedah pengurusan ternakan secara tradisional sebelum ini turut menimbulkan pelbagai masalah termasuk haiwan berkeliaran tanpa kawalan sehingga menyebabkan insiden kemalangan, termasuk kes maut.

“Jadi kita mengambil inisiatif mentaggingkan binatang-binatang ternakan ini supaya penternak lebih bertanggungjawab, bukan sahaja mengurus ternakan mereka, tetapi juga demi keselamatan awam. Kerajaan negeri juga akan dapat mengumpulkan data lengkap melalui sistem ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Tag QR Haiwan Ternakan di Merlimau, di sini hari ini.

Tambah beliau, data yang dikumpulkan melalui sistem itu akan merangkumi jumlah keseluruhan ternakan di Melaka termasuk lembu, kerbau, ternakan pedaging, susu dan baka, sekali gus membolehkan pengurusan yang lebih terancang dan sistematik.

Bagi menggalakkan penyertaan, kerajaan negeri menawarkan pemasangan tag QR secara percuma sepanjang tahun ini, manakala bermula 2027, caj sebanyak RM5 akan dikenakan bagi setiap ekor ternakan.

Untuk fasa awal pelaksanaan, sistem berkenaan hanya melibatkan ternakan lembu dan kerbau sebelum diperluaskan kepada jenis ternakan lain pada masa akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.