Trump tawar jual senjata kepada China – Duta AS

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump/ AFP

WASHINGTON, 28 September – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan kesediaan untuk menjual senjata kepada Beijing, susulan kebimbangan terhadap penjualan senjata AS kepada Taiwan, kata Duta AS ke China dalam temu bual dengan Fox News yang disiarkan pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdue: perbincangan mengenai penjualan senjata lain terus berlangsung antara Trump dan Xi.
  • Perdue tekankan pendirian AS terhadap Taiwan tidak berubah.
  • Washington lulus jualan senjata US$11.1 bilion kepada Taiwan; China beri amaran kemerdekaan bakal menemui jalan buntu.

Duta AS ke China, David Perdue, berkata perkara itu dibangkitkan semasa pertemuan Presiden China, Xi Jinping dengan Trump di Amerika Syarikat minggu lalu.

Menurut Perdue, Trump memberitahu Xi bahawa AS menjual senjata kepada negara lain di seluruh dunia dan bertanya sama ada China berminat untuk membelinya.

“Perbincangan mengenai penjualan senjata lain terus berlangsung dan Trump serta Presiden Xi membincangkan perkara itu setiap kali mereka bertemu,” kata Perdue sambil menegaskan pendirian AS terhadap Taiwan tidak berubah.

Pada Jun lalu, China memberi amaran kepada Taiwan bahawa usaha mencapai kemerdekaan dengan bergantung kepada Amerika Syarikat atau melalui tindakan ketenteraan hanya akan menemui jalan buntu.

Pada Disember lalu, Washington meluluskan jualan senjata bernilai US$11.1 bilion (kira-kira RM46 bilion) kepada Taiwan dan merupakan jumlah terbesar sejak 1979.

Semasa lawatan ke Washington, Xi mengulangi gesaan supaya Trump lebih berhati-hati berhubung isu Taiwan, selain mendesak AS menentang usaha kemerdekaan Taiwan.

Pada Mei lalu, Trump mencadangkan pakej penjualan senjata kepada Taipei yang akan datang boleh dijadikan perkara rundingan dengan China, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan Taiwan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.