PSG julang kejuaraan Ligue 1 kali ke-14 selepas tumpaskan Lens

Kvaratskhelia dari Paris St Germain menjaringkan gol pertama mereka / REUTERS

LENS, 14 Mei – Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan kejuaraan Ligue 1 buat musim kelima berturut-turut selepas menewaskan pencabar terdekat, Lens 2-0 di Stade Bollaert-Delelis awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • PSG mengumpul 76 mata, manakala Lens kekal 67 mata dengan berbaki satu perlawanan.
  • Kejayaan itu merupakan gelaran Ligue 1 ke-14 buat PSG, mengukuhkan status sebagai pasukan paling berjaya Perancis.
  • Khvicha Kvaratskhelia menjaringkan gol minit ke-29 dari hantaran Ousmane Dembele; Ibrahim Mbaye tambah gol masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan PSG mengumpul 76 mata sekali gus tidak lagi mampu dikejar Lens yang kekal di tangga kedua dengan 67 mata berbaki satu perlawanan.

Kejuaraan tersebut juga merupakan gelaran Ligue 1 ke-14 buat PSG sekali gus mengukuhkan status kelab itu sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah liga Perancis.

PSG membuka jaringan pada minit ke-29 menerusi Khvicha Kvaratskhelia selepas menerima hantaran pantas Ousmane Dembele yang berjaya merampas bola daripada pertahanan Lens, Malang Sarr.

Pasukan tuan rumah memiliki beberapa peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun penjaga gol PSG, Matvey Safonov tampil cemerlang dengan beberapa aksi menyelamat penting.

Antara peluang berbahaya Lens termasuk tandukan Adrien Thomasson yang diselamatkan Illia Zabarnyi di atas garisan gol, selain percubaan Wesley Said dan Abdallah Sima yang berjaya dinafikan Safonov.

Sima turut hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-73, namun percubaannya sekadar terkena tiang gol.

PSG kemudian menambah jaringan pada masa kecederaan menerusi pemain muda, Ibrahim Mbaye yang menyempurnakan serangan balas pantas untuk memastikan kemenangan bergaya skuad Paris itu.

Ibrahim Mbaye dari Paris St Germain meraikan jaringan gol kedua mereka / REUTERS

Kejayaan tersebut hadir meskipun PSG turun tanpa beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan termasuk Achraf Hakimi, Nuno Mendes dan Warren Zaire-Emery.

PSG selepas ini akan menamatkan kempen liga menentang Paris FC sebelum mempertahankan kejuaraan Liga Juara Eropah menentang Arsenal di Budapest pada 30 Mei depan. -REUTERS