
KUALA LUMPUR, 30 September – Sebanyak 30 kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 12 tengah hari ini.
- Johan Setia rekod IPU tertinggi 173, Shah Alam dan Cheras masing-masing 168.
- ASMC lapor banyak titik panas di Kalimantan dan Sumatera, satu titik panas di Sarawak, jerebu rentas sempadan dikesan.
- JAS pantau IPU, titik panas dan jerebu, menyeru orang ramai jangan lakukan pembakaran terbuka dan lapor kecemasan 999 atau JAS 1-800-88-2727.
- Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024: denda RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon, Johan Setia, Selangor mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu 173, diikuti Shah Alam dan Cheras masing-masing 168.
“Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Batu Muda, Putrajaya, Kuala Selangor, Petaling Jaya, Klang, Banting, Nilai, Seremban, Port Dickson, Bukit Rambai, Bandaraya Melaka, Batu Pahat, Kluang, Larkin, Pasir Gudang, Pengerang, Kota Tinggi, Rompin, Jerantut, Indera Mahkota Kuantan, Balok Baru Kuantan, Kemaman, Paka, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Seri Manjung dan Tanjung Malim.
“Tiada bacaan IPU pada tahap tidak sihat direkodkan di Sabah dan Sarawak.
“Keadaan berkenaan berlaku dalam persekitaran cuaca kering yang berterusan di sebahagian Rantau Selatan ASEAN,” menurut kenyataan itu.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 29 September, sebanyak 327 titik panas dikesan di Kalimantan, 191 di Sumatera dan satu titik panas di Malaysia, iaitu di Sarawak.
ASMC turut melaporkan jerebu rentas sempadan sederhana diperhatikan meliputi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Singapura dan bahagian barat laut Borneo.
JAS terus memberi perhatian terhadap risiko kebakaran, khususnya di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah yang terdedah kepada risiko kebakaran susulan keadaan cuaca panas dan kering.
“Pemantauan terhadap bacaan IPU, titik panas dan perkembangan jerebu rentas sempadan turut diteruskan, selain tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka yang dikenal pasti.
“JAS menyeru orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui talian 999 atau JAS di 1-800-88-2727,” menurut kenyataan itu.
Selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1 juta, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) JAS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS.