Keselamatan kejiranan perlu seimbang dengan hak penduduk, penyewa

Foto Janaan AI

KUALA LUMPUR, 30 September – Pelaksanaan kawalan keselamatan di kawasan kejiranan berpengawal perlu mengambil kira hak pemilik rumah dan penyewa, selain memastikan keselamatan komuniti serta kepentingan awam terus terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengawal keselamatan tidak diberi kuasa berlebihan; mereka tidak boleh menghalang akses, menahan individu atau mengenakan syarat tidak munasabah.
  • Pengumpulan data penduduk dan pelawat mesti bertanggungjawab, telus dan terhad; tujuan, pihak akses, tempoh penyimpanan dan langkah keselamatan mesti dimaklumkan.
  • Akses kecemasan tidak boleh dikompromi; pemasangan halangan fizikal perlu kelulusan pihak berkuasa dan garis panduan kejiranan perlu diperincikan.

Pertubuhan Sewaan Kediamaan Kebangsaan (NHRA) berkata, usaha meningkatkan keselamatan melalui skim kejiranan berpengawal sememangnya wajar disokong, namun pelaksanaannya tidak seharusnya menjejaskan hak penghuni yang sah untuk mengakses kediaman masing-masing.

Pengerusinya, K. Prakash berkata, pengawal keselamatan tidak seharusnya diberikan kuasa berlebihan sehingga boleh menghalang seseorang daripada memasuki kediamannya sendiri tanpa alasan yang munasabah.

“Perkara itu penting khususnya kepada penyewa kerana mereka merupakan penghuni yang sah berdasarkan perjanjian sewaan dan berhak menikmati akses yang munasabah, selamat serta tidak menyusahkan ke kediaman yang disewa.

“Aspek perlindungan data peribadi juga perlu diberi perhatian serius dalam pelaksanaan kawalan keselamatan, terutama apabila maklumat penduduk dan pelawat dikumpulkan di pondok pengawal,” menurut kenyataan itu.

NHRA berkata, pengumpulan nama, nombor telefon, nombor kad pengenalan, nombor pendaftaran kenderaan atau maklumat lain perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus dan tidak berlebihan.

“Penduduk dan pelawat juga wajar dimaklumkan mengenai tujuan maklumat dikumpulkan, pihak yang mempunyai akses, tempoh penyimpanan serta langkah keselamatan yang diambil bagi mengelakkan kebocoran dan penyalahgunaan data,” katanya.

Dalam pada itu, NHRA menegaskan pengawal keselamatan bukan pihak berkuasa awam dan peranan serta batas tugas mereka perlu dijelaskan dengan lebih terang.

“Pengawal keselamatan tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menghalang akses, menahan individu atau mengenakan syarat yang tidak munasabah terhadap penduduk, penyewa dan pelawat yang mempunyai urusan sah.

“Pada masa sama, akses ambulans, bomba, polis, agensi kerajaan serta perkhidmatan kecemasan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan,” menurut kenyataan itu.

NHRA turut menegaskan pemasangan pondok pengawal, palang keselamatan, sistem kad akses atau sebarang halangan fizikal perlu mendapat kelulusan sewajarnya daripada pihak berkuasa berkaitan, khususnya jika melibatkan jalan yang masih berstatus jalan awam.

Tambahnya, NHRA menyeru pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri memperkukuh garis panduan berkaitan kejiranan berpengawal supaya pelaksanaannya lebih jelas, seragam dan tidak menimbulkan kekeliruan kepada penduduk.

“Garis panduan berkenaan wajar memperincikan hak pemilik rumah dan penyewa, tatacara kemasukan pelawat, kaedah pengumpulan serta perlindungan data peribadi, batas tugas pengawal keselamatan, akses kenderaan kecemasan, penggunaan jalan awam serta mekanisme aduan yang mudah dicapai penduduk.

“Keselamatan penduduk dan hak penghuni tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang bertentangan, sebaliknya boleh dicapai secara bersama menerusi peraturan yang jelas, pelaksanaan berhemah dan tadbir urus komuniti yang bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

NHRA kekal komited menyokong usaha mewujudkan persekitaran kediaman yang selamat dan harmoni, selain menghormati hak serta privasi pemilik rumah, penyewa, pelawat dan komuniti setempat.