Manchester City terus tekan Arsenal, benam Crystal Palace 3-0

Pemain tengah Manchester City dari Brazil, Savinho, menjaringkan gol ketiga pasukan semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Crystal Palace di Stadium Etihad / AFP

MANCHESTER, 14 Mei – Manchester City terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal selepas menewaskan Crystal Palace 3-0 di Stadium Etihad awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurang kini dua mata dengan Arsenal dengan dua perlawanan liga berbaki.
  • City menguasai 72 peratus penguasaan bola dan mencatat 15 percubaan berbanding 6 oleh Palace.
  • Semenyo (32), Marmoush (40) dan Savinho (84) menjaringkan gol yang memastikan kemenangan City.

Kemenangan itu menyaksikan jurang antara City dan Arsenal kini hanya dua mata ketika saingan liga berbaki dua perlawanan.

Skuad kendalian Pep Guardiola kini mengumpul 77 mata, manakala Arsenal kekal di puncak dengan 79 mata.

City tampil dominan sepanjang perlawanan meskipun Guardiola merehatkan beberapa tonggak utama termasuk penjaring terbanyak liga, Erling Haaland menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Chelsea hujung minggu ini.

Antoine Semenyo membuka jaringan buat tuan rumah pada minit ke-32 hasil gerakan menarik Phil Foden sebelum merembat masuk ke penjuru kiri gawang.

Omar Marmoush kemudian menggandakan kelebihan City pada minit ke-40 menerusi penyudah tenang selepas menerima hantaran yang turut berpunca daripada sentuhan Foden.

Savinho melengkapkan kemenangan bergaya City pada minit ke-84 apabila menyempurnakan hantaran Rayan Cherki dengan rembatan kaki kiri dari jarak dekat.

City menguasai sebahagian besar permainan dengan mencatat 72 peratus penguasaan bola serta 15 percubaan berbanding hanya enam percubaan oleh Crystal Palace.

Pemain pertahanan Croatia, Josko Gvardiol yang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan patah tulang kering hampir menambah jaringan City pada penghujung babak pertama, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Palace, Dean Henderson.

Kemenangan itu turut memanjangkan rekod tanpa kalah City dalam liga sejak pertengahan Januari lalu sekali gus memastikan perebutan kejuaraan terus terbuka hingga penghujung musim.

Sementara itu, pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner mengakui City terlalu kuat untuk pasukannya dan menyifatkan anak buah Guardiola beraksi jauh lebih baik di Etihad.

City selepas ini akan bertemu Bournemouth sebelum menutup kempen liga menentang Aston Villa pada 24 Mei. – REUTERS