Darderi mara ke separuh akhir Terbuka Itali

Luciano Darderi dari Itali meraikan satu mata menentang Rafael Jodar dari Sepanyol semasa kejohanan tenis ATP Terbuka Itali di Foro Italico, Rom / AFP

ROM, 14 Mei – Pemain tuan rumah, Luciano Darderi meneruskan kemaraan cemerlang apabila mara ke separuh akhir tenis ATP Terbuka Itali selepas menewaskan pemain muda Sepanyol, Rafael Jodar dalam aksi suku akhir yang berlarutan hingga awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Darderi menang 7-6(5), 5-7, 6-0, pencapaian terbaik kariernya dalam kejohanan Masters 1000.
  • Asap bunga api dari Stadium Olimpico ganggu penglihatan dan sistem panggilan garisan elektronik pada set pertama.
  • Darderi bangkit dari 2-5 dalam tie-break, Jodar selamatkan dua mata penamat, tetapi Darderi menang set penentuan 6-0.
  • Casper Ruud tewaskan Karen Khachanov selepas gangguan hujan; Ruud akan berdepan Darderi di separuh akhir.

Darderi mencatat kemenangan 7-6(5), 5-7, 6-0 dalam pertarungan hampir tiga jam sekali gus melakar pencapaian terbaik kariernya dalam kejohanan Masters 1000.

Pemain pilihan ke-18 itu hadir dengan keyakinan tinggi selepas mengejutkan pilihan kedua, Alexander Zverev pada pusingan sebelumnya.

Bagaimanapun, aksi di Campo Centrale itu turut terganggu seketika pada set pertama apabila asap daripada pertunjukan bunga api di Stadium Olimpico berdekatan menjejaskan jarak penglihatan serta mengganggu sistem panggilan garisan elektronik kejohanan.

Perlawanan disambung semula selepas keadaan kembali stabil dan Darderi bangkit daripada ketinggalan 2-5 dalam tie-break untuk memenangi set pertama di hadapan penyokong tuan rumah.

Darderi kemudian mendahului 3-0 pada set kedua sebelum Jodar bangkit memberi tentangan sengit. Pemain Sepanyol itu menyelamatkan dua mata penamat perlawanan sebelum memenangi set kedua 7-5 untuk mengheret aksi ke set penentuan.

Darderi semasa kejohanan tenis ATP Terbuka Itali di Foro Italico, Rom / AFP

Namun, momentum itu gagal diteruskan Jodar apabila Darderi kembali menguasai permainan pada set ketiga untuk menang bergaya 6-0.

Dalam satu lagi aksi suku akhir, Casper Ruud mara ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Russia, Karen Khachanov 6-1, 1-6, 6-2.

Ruud bermula cemerlang apabila memenangi set pertama dengan mudah, namun perlawanan terpaksa dihentikan hampir dua jam setengah akibat hujan pada set kedua.

Pemain Norway, Casper Ruud, meraikan kemenangannya menentang Karen Khachanov dari Rusia / AFP

Gangguan itu memberi ruang kepada Khachanov untuk bangkit menyamakan kedudukan selepas mempamerkan aksi lebih agresif.

Bagaimanapun, Ruud kembali tenang pada set penentuan dan mencuri perhatian penonton menerusi pukulan tweener menarik sebelum memastikan kemenangan untuk mara ke separuh akhir di Rome buat kali pertama sejak 2023.

Ruud bakal berdepan Darderi bagi merebut tempat ke perlawanan akhir kejohanan tersebut.