Philadelphia tawar pengalaman terbaik Piala Dunia FIFA 2026

Stadium Lincoln Financial Field menjalani proses transformasi menyeluruh bagi memenuhi piawaian kejohanan bola sepak terbesar dunia itu / REUTERS

PHILADELPHIA, 14 Mei – Persiapan akhir bagi penganjuran Piala Dunia FIFA 2026 di Philadelphia kini giat dijalankan apabila Stadium Lincoln Financial Field menjalani proses transformasi menyeluruh bagi memenuhi piawaian kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemasangan padang hibrid berteknologi tinggi menggunakan rumput Kentucky bluegrass diperkukuh gentian sintetik untuk menampung intensiti perlawanan antarabangsa.
  • Sistem rumput telah diuji pada Piala Dunia Kelab dan menerima maklum balas positif daripada pemain, kata Tony Leonard.
  • Kaedah hamparan berkarpet diisi pasir digunakan berbeza dengan teknik jahitan gentian sintetik di stadium lain.
  • Penukaran papan tanda dan penjenamaan rasmi FIFA sedang dilaksanakan dan stadium akan memasuki tempoh eksklusif sebelum kejohanan.

Stadium yang menjadi gelanggang rasmi pasukan NFL, Philadelphia Eagles itu kini sedang melalui kerja penjenamaan semula serta naik taraf teknikal.

Antara tumpuan utama ialah pemasangan padang hibrid berteknologi tinggi menggunakan rumput Kentucky bluegrass yang diperkukuh dengan gentian sintetik bagi memastikan permukaan padang mampu menampung intensiti perlawanan bertaraf antarabangsa.

Naib Presiden Pengurusan Padang Philadelphia Eagles, Tony Leonard berkata, sistem rumput berkenaan sebelum ini telah diuji ketika kejohanan Piala Dunia Kelab dan menerima maklum balas positif daripada pemain.

Menurut beliau, permukaan padang itu menggunakan kaedah hamparan berkarpet yang diisi pasir sebelum disemai rumput, berbeza dengan beberapa stadium lain yang menggunakan teknik jahitan gentian sintetik.

Pemasangan padang hibrid berteknologi tinggi menggunakan rumput Kentucky bluegrass / REUTERS

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Kejohanan Philly Soccer 2026, Frank Gumienny, memaklumkan proses penukaran papan tanda dan bahan penjenamaan rasmi FIFA kini sedang dijalankan mengikut keperluan yang ditetapkan badan induk bola sepak dunia itu.

Katanya, stadium berkenaan akan memasuki “tempoh eksklusif” FIFA bermula minggu ini sebelum segala persiapan dipertingkatkan menjelang 14 Jun depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Philadelphia Soccer 2026, Meg Kane, optimis pengalaman penonton di Stadium Lincoln Financial Field akan memberi pengalaman positif kepada peminat bola sepak dari seluruh dunia.

Beliau menyifatkan stadium berkenaan sebagai antara venue NFL terbaik di Amerika Syarikat, khususnya dari aspek kelestarian dan pengalaman peminat.

Philadelphia merupakan antara 16 bandar tuan rumah bagi Piala Dunia FIFA 2026 yang akan dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Ketika kerja-kerja pembinaan diteruskan di sekitar stadium, bandar raya itu turut bersiap sedia menerima kehadiran ratusan ribu pelawat antarabangsa sepanjang kejohanan berlangsung nanti.