Bekalan tenaga bukan kekangan industri semikonduktor negara

Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Malaysia tidak melihat bekalan tenaga atau bahan mentah sebagai risiko utama kepada industri semikonduktor negara ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih gas memberi kelebihan menyokong perkembangan industri semikonduktor.
  • Terdapat potensi mengoptimumkan penggunaan lebihan gas dalam negara untuk sektor berintensif tenaga, termasuk semikonduktor.
  • Bekalan bahan mentah seperti helium masih terkawal tetapi risiko bergantung kepada perkembangan geopolitik, terutamanya konflik di Asia Barat.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih gas memberi kelebihan dalam menyokong perkembangan industri, meskipun negara merupakan pengimport bersih minyak.

“Malaysia mempunyai rizab yang mencukupi. Namun pada masa ini kita mengeksport lebihan tersebut. Sekiranya kita dapat membangunkan industri di dalam negara dan menggunakan tenaga berasaskan gas, kita boleh mendapat manfaat kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran SEMICON Asia Tenggara 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Malaysia ketika ini mengeksport sebahagian besar lebihan gas, namun terdapat potensi untuk mengoptimumkan penggunaannya dalam negara bagi menyokong sektor berintensif tenaga, termasuk industri semikonduktor.

Mengulas risiko bekalan bahan mentah seperti helium yang digunakan dalam pengeluaran cip, Datuk Seri Johari berkata keadaan masih terkawal buat masa ini, namun bergantung kepada perkembangan geopolitik global.

“Setakat ini, kita tidak melihat ia sebagai satu kebimbangan serius. Satu-satunya masalah ialah mereka yang mendapat bekalan dari Selat Hormuz. Selagi konflik berterusan, kita boleh melihat kekurangan bekalan sekitar 30 peratus,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Datuk Seri Johari berkata segmen semikonduktor kekal sebagai tonggak utama industri elektrik dan elektronik (E&E) negara, yang mencatatkan eksport kira-kira RM711 bilion pada 2025, dengan RM465 bilion daripadanya daripada semikonduktor.

Beliau berkata industri semikonduktor global yang bernilai kira-kira AS$630 bilion pada 2024 dijangka berkembang pesat dan mencecah AS$1 trilion menjelang 2030, dipacu oleh lonjakan infrastruktur kecerdasan buatan (AI), termasuk permintaan pusat data, pelayan dan peralatan rangkaian.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia telah mula memperuntukkan token teknologi hasil kerjasama dengan Arm Holdings bagi mempercepat pembangunan reka bentuk litar bersepadu (IC) tempatan.

“Kita mempunyai reka bentuk IC asas, kira-kira 25 token diberikan kepada kita. Bagi yang lebih advanced, kita ada tujuh. Daripada tujuh itu, tiga telah diberikan kepada pemain industri untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan,” katanya.

Beliau berkata sekitar lima syarikat sedang terlibat dalam penggunaan token IC asas, dengan tempoh empat tahun diberikan untuk memaksimumkan penggunaannya serta mengenal pasti rakan strategik yang sesuai bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor negara.

SEMICON Asia Tenggara 2026 anjuran SEMI dan SanDisk yang berlangsung dari 5 hingga 7 Mei di MITEC memberi tumpuan kepada AI, automasi pintar dan penyelesaian digital dalam mentransformasikan industri semikonduktor.