
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Ratu rock negara, Ella bakal mencipta satu lagi detik bersejarah apabila konsert mega Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru diumumkan akan berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada 25 Julai 2026.
- Konsert menyambung kejayaan terdahulu yang menghimpunkan lebih 55,000 penonton.
- Edisi ulang tahun ke-60 Ella sambut hampir empat dekad perjalanan seni dan akar asal penyanyi.
- Kempen Peace. Love. Rindu salurkan RM2 setiap tiket kepada badan kebajikan pilihan, menggabungkan hiburan dan tanggungjawab sosial.
Pengumuman rasmi diumum dalam satu sidang media khas di Odeon Kuala Lumpur semalam.
Konsert anjuran Hitman Solutions bersama Rockqueen turut menandakan kesinambungan kejayaan penganjuran terdahulu di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berjaya menghimpunkan lebih 55,000 penonton.
Edisi kali ini sempena ulang tahun ke-60 Ella pada Julai ini, konsert tersebut dijangka menjadi momen penuh emosi yang menghubungkan perjalanan seni hampir empat dekad dengan akar asal penyanyi legenda itu.
Lebih menarik, Pulau Pinang merupakan negeri kelahiran Ella dan beliau bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi artis pertama yang mengadakan konsert solo di stadium berkenaan.
Konsert ini turut membawa kempen Peace. Love. Rindu. yang menggabungkan hiburan dengan tanggungjawab sosial, di mana peminat boleh mengundi badan kebajikan pilihan iaitu ABIM Pulau Pinang (Peace), YKN (Love) dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (Rindu), dengan RM2 daripada setiap tiket disalurkan kepada kebajikan terpilih.
Tiket ditawarkan serendah RM39 bagi memastikan ia mampu milik, manakala pemegang tiket Aras 3 edisi Kuala Lumpur diberi keutamaan pembelian awal bermula 8 Mei 2026 serta diskaun istimewa. Jualan tiket umum dibuka pada 11 Mei 2026 di [www.hitmanlive.com](http://www.hitmanlive.com).