Lima pemantun RTM berentap dalam Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026

Antara aksi-aksi pemantun Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang diberi jolokan Kersanipuri ketika berentap sempena Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Radio Televisyen Malaysia (RTM) antara lapan pasukan media dan agensi yang berentap dalam Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 di Panggung Sari, Kompleks Kraf di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kumpulan Kersanipuri (lima pemantun) mempersembahkan kreativiti menggabungkan kewartawanan, teknologi dan keindahan warisan budaya Melayu.
  • Pertandingan disertai pelbagai agensi media termasuk JAKIM, TV3, Astro, Berita Harian, Sinar Harian, Media Selangor dan Bernama.
  • Pesta Pantun menawarkan hadiah wang tunai: juara RM3,000, naib juara RM2,000, tempat ketiga RM1,000; Pemantun Terbaik RM500 dan hadiah busana.

Lima pemantun RTM yang tampil dengan nama kumpulan Kersanipuri beraksi menerusi persembahan kreatif yang mengangkat elemen kewartawanan, teknologi serta keindahan warisan budaya Melayu.

Pemantun utama terdiri daripada Nurul Asmawati Harun, Aedi Alieas Mat Rusok dan Norlizahana Abdullah Sani. Manakala Mohd Firdaus Rusli dan Mardhiyah Mohammed Zin sebagai pemantun simpanan.

Bertemakan Kewartawanan dan Teknologi, pertandingan anjuran Bernama dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu turut disertai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), TV3, Astro Audio News, Berita Harian, Sinar Harian, Media Selangor dan Bernama.

Para peserta tampil mengenakan busana bertemakan pahlawan dan srikandi Melayu yang menyerlahkan keindahan warisan budaya tempatan.

Setiap pasukan mempersembahkan rangkap pantun disulami unsur humor, nasihat dan perpaduan yang mencerminkan kreativiti dan kepekaan terhadap isu semasa.

Pertandingan itu diadili Perancang Bahasa Akademi DBP Dr Faezah Muhayat; Perancang Bahasa DBP Wilayah Tengah Musazliza Mustan Shir serta Perancang Bahasa DBP Azimin Daud, manakala Ahmad Fedtri Yahya bertindak sebagai jurupantun yang menghidupkan perjalanan pertandingan.

Bagaimanapun, keputusan johan dan naib johan akan diumumkan pada kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pulau Pinang pada 20 Jun ini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 berserta trofi dan sijil kepada juara.

Manakala RM2,000 bagi naib juara dan RM1,000 untuk tempat ketiga.

Bagi kategori Pemantun Terbaik akan menerima RM500 serta hadiah khas busana terbaik lelaki dan wanita sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti peserta.