
WASHINGTON, 6 Mei- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa mengumumkan bahawa tentera AS akan menghentikan sementara “Project Freedom” bagi memulihkan kebebasan pelayaran untuk perkapalan komersial melalui Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi.
- AS lancarkan 'Project Freedom' untuk mengiringi kapal melalui Selat Hormuz walaupun Iran menuntut kelulusan Tehran.
- Ketegangan meningkat selepas AS dan Israel menyerang Iran pada 28 Feb, mencetuskan tindak balas Tehran dan gangguan perkapalan.
- Iran perkenal sistem permit transit melalui e-mel PGSA; AS pula laksana sekatan laut menumpu trafik maritim Iran sejak 13 April.
Trump berkata keputusan itu dibuat atas permintaan Pakistan dan beberapa negara lain susulan apa yang disifatkannya sebagai “kejayaan ketenteraan besar” sepanjang kempen AS terhadap Iran.
“Berdasarkan permintaan Pakistan dan negara-negara lain, kejayaan ketenteraan besar yang telah kami capai sepanjang kempen terhadap negara Iran dan tambahan pula hakikat bahawa kemajuan besar telah dicapai ke arah Perjanjian Lengkap dan Muktamad dengan Wakil Iran, kami secara bersama bersetuju bahawa sementara sekatan akan terus kekal berkuat kuasa sepenuhnya, Project Freedom (Pergerakan Kapal melalui Selat Hormuz) akan dihentikan sementara bagi melihat sama ada perjanjian itu dapat dimuktamadkan dan ditandatangani,” katanya menerusi platform Truth Social miliknya.
Trump mengumumkan “Project Freedom” pada Ahad dengan berikrar untuk mengiringi kapal-kapal melalui Selat Hormuz walaupun Iran menegaskan bahawa sebarang transit melalui laluan air kritikal itu memerlukan kelulusan Tehran terlebih dahulu.
Ketegangan serantau semakin memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb lepas, yang mencetuskan tindak balas daripada Tehran serta gangguan di selat berkenaan.
Satu gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April lepas menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan. Gencatan senjata itu kemudiannya dilanjutkan oleh Trump tanpa sebarang tarikh akhir yang ditetapkan.
Sejak 13 April, AS melaksanakan sekatan laut yang menyasarkan trafik maritim Iran di laluan air strategik itu.
Turut pada Selasa, Iran memperkenalkan mekanisme baharu yang mengawal transit kapal melalui Selat Hormuz susulan kebuntuan dengan Washington berhubung laluan air strategik itu.
Di bawah sistem berkenaan, kapal yang berhasrat untuk melalui selat itu akan menerima e-mel daripada alamat yang dikaitkan dengan Persian Gulf Strait Authority (PGSA) yang memaklumkan kepada mereka mengenai peraturan transit.
Kapal terbabit kemudiannya diwajibkan mematuhi rangka kerja itu sebelum menerima permit transit, menurut saluran televisyen milik kerajaan, Press TV. -BERNAMA-ANADOLU