Suspek kes racun makanan bayi direman 14 hari di Austria

Balang makanan bayi jenama HiPP yang didakwa tercemar bahan berbahaya dalam siasatan kes dipercayai berkaitan unsur khianat/ AFP

VIENNA, 6 Mei- Seorang suspek dalam kes pemerasan melibatkan balang makanan bayi yang diracuni keluaran syarikat HiPP direman, menurut pihak pendakwa raya di Bandar Eisenstadt, Austria pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek direman 14 hari selepas hakim setuju terdapat syak wasangka kukuh dan risiko menyembunyikan bukti serta melarikan diri.
  • Dia dituduh memasukkan racun tikus ke dalam beberapa balang makanan bayi sebagai usaha pemerasan; siasatan juga termasuk cubaan mencederakan secara parah.
  • Balang dipercayai tercemar ditemui di Austria, Republik Czech dan Slovakia; suspek, bekas pekerja kemudahan, menafikan semua tuduhan.

Seorang hakim bersetuju dengan hujah pihak pendakwa yang terdapat syak wasangka kukuh terhadap penglibatan suspek, selain risiko menyembunyikan bukti dan melarikan diri daripada keadilan, kata seorang jurucakap.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada hujung minggu lepas dan akan direman selama 14 hari sebagai tempoh awal, sebelum kesnya disemak semula.

Menurut peguamnya, suspek merupakan bekas pekerja di sebuah kemudahan HiPP di Austria.

Dia dituduh memasukkan racun tikus ke dalam beberapa balang makanan bayi sebagai usaha untuk melakukan pemerasan. Siasatan masih dijalankan berkaitan cubaan menyebabkan kecederaan parah serta pemerasan.

Suspek bagaimanapun menafikan semua tuduhan.

Balang yang dipercayai tercemar ditemukan di Austria, Republik Czech dan Slovakia. -BERNAMA-dpa