
KUALA LUMPUR, 5 Mei– Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis ini.
- Ekonomi kekal berdaya tahan selepas KDNK suku pertama mencatat kira-kira 5.3 peratus.
- Inflasi meningkat sederhana; BNM menaikkan unjuran 2026 kepada 2.5 peratus, mewujudkan asas bagi kemungkinan pengetatan dasar.
- Kadar tidak berubah menyokong kestabilan pinjaman, memastikan bayaran gadai janji terurus dan memberi kejelasan kepada pembeli; Johor menunjukkan pertumbuhan hartanah kuat.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, anggaran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama sebanyak 5.3 peratus menunjukkan ekonomi kekal berdaya tahan walaupun berdepan situasi ketidaktentuan global.
”Bagaimanapun, seiring dengan pertumbuhan, inflasi juga meningkat, namun dalam kadar sederhana. BNM juga turut menaikkan unjuran bagi inflasi yang diunjur mampu mencecah 2.5 peratus pada 2026.
“Ringkasnya, terdapat asas untuk menjangkakan satu kenaikan OPR untuk tahun ini, namun ia bergantung kepada prestasi ekonomi dan inflasi semasa,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas kesan pengekalan OPR kepada sektor hartanah, katanya kadar faedah yang tidak berubah akan menyokong kadar pinjaman yang stabil.
Jelasnya, pengekalan itu juga akan memastikan bayaran gadai janji kekal terurus bagi pemilik rumah dan memberi kejelasan kepada pembeli baharu.
“Persekitaran kadar faedah semasa adalah baik untuk hartanah kediaman. Rumah paling popular adalah dalam julat harga antara RM300,000 hingga RM600,000 di pinggir Kuala Lumpur, tanah besar Pulau Pinang dan Johor.”
“Johor wajar diberi perhatian khusus. Harga rumah di negeri itu meningkat 6.9 peratus tahun lalu, lebih tinggi berbanding mana-mana negeri lain, dan pelaburan rentas sempadan serta infrastruktur menunjukkan permintaan di sana akan terus berkembang,” katanya.