
KUALA LUMPUR, 21 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah menggunakan cecair rokok elektronik atau vape menerusi siri serbuan di ibu kota.
- Rampasan lebih 18 kilogram furanyl fentanyl dan MDMA bernilai RM2.88 juta.
- Serbuan Taman Bukit Cheras temui sembilan botol cecair disyaki fentanyl seberat 16.86 kilogram.
- Op Vape 1.0 periksa lebih 1,600 premis vape; lima suspek direman bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Operasi tersebut menyaksikan rampasan lebih 18 kilogram dadah jenis furanyl fentanyl serta serbuk Methylenedioxy Methamphetamine (MDMA) yang dianggarkan bernilai RM2.88 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan, serbuan pertama di Taman Bukit Cheras membawa kepada penemuan sembilan botol cecair disyaki fentanyl seberat 16.86 kilogram.
Manakala serbuan kedua di Sentul Jumaat lalu, berjaya merampas 155 katrij vape dan serbuk MDMA seberat 0.66 kilogram.
“Siasatan awal mendapati wujud usaha membawa masuk cecair furanyl fentanyl dari luar negara sebelum dipasarkan di Malaysia.”
Seramai lima individu termasuk seorang warga asing berusia antara 22 hingga 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Kesemua suspek yang bertindak sebagai pengusaha kedai, penjaga stor, dan penghantar barangan itu kini direman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kejayaan ini merupakan sebahagian daripada penguatkuasaan besar-besaran Op Vape 1.0 yang dijalankan di seluruh negara bermula 13 April lalu.
Operasi bersepadu tersebut turut melibatkan pemeriksaan ke atas lebih 1,600 premis vape bagi memastikan peranti elektronik tersebut tidak disalah guna sebagai medium penyebaran dadah sintetik berbahaya.