Pandu dalam keadaan mabuk, peguam dipenjara 14 hari bermula hari ini

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 23 April – Seorang peguam dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Tinggi hari ini kerana memandu kereta dalam keadaan mabuk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Tinggi menambah hukuman, memerintahkan penjara, denda dan pembatalan lesen memandu selama dua tahun.
  • Chia Wilson mengaku bersalah; bacaan alkohol 71 mg dalam 100 ml darah, melebihi had 50 mg.
  • Pendakwa memohon hukuman lebih berat kerana tertuduh seorang peguam; pembelaan mohon pertimbangan atas masalah kesihatan dan rekod baik.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Chia Wilson, 38, yang ditahan dalam Ops Mabuk dan memerintahkannya dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda serta mengarahkan lesen memandu responden dibatalkan selama dua tahun.

Aslam memutuskan demikian selepas menyemak keputusan Mahkamah Majistret di sini pada 15 April lepas yang hanya mengenakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM3,000 selama dua tahun terhadap Chia.

Bagaimanapun, Chia perlu menjalani hukuman penjara serta-merta bermula hari ini selepas hakim itu mengarahkan peguam Ng Chia How yang mewakili lelaki itu memfailkan permohonan rasmi untuk menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Chia mengaku bersalah memandu kereta jenis Mercedes dengan kandungan alkohol dalam badannya sebanyak 71 miligram dalam 100 mililiter (ml) darah iaitu lebih 21 mg alkohol daripada had yang ditetapkan iaitu 50 mg alkohol dalam 100 ml darah di Jalan Awan Besar dari Bukit Jalil menghala ke arah Puchong pada 12.40 tengah malam, 27 Feb lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda minimum RM10,000 dan maksimum RM30,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dari tarikh sabitan.

Terdahulu, Ng memohon agar mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret atas alasan mahkamah itu tidak terkhilaf ketika menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Peguam itu berkata anak guamnya telah melakukan kesilapan dan mengaku bersalah, namun kesilapan yang dilakukannya tidak memadamkan segala kebaikan yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Dia (Chia) mempunyai masa depan yang cerah… mohon mahkamah memberi peluang kepadanya untuk berubah dan melakukan apa yang terbaik bagi dirinya dengan menyumbang (khidmat guaman) kepada masyarakat,” katanya.

Menurut peguam itu, anak guamnya juga mempunyai masalah kemurungan dan keadaaan kesihatannya perlu dipertimbangkan oleh mahkamah.

“Dia bukan seorang penjenayah tegar dan tiada kemalangan serta kecederaan berlaku dalam kes ini. Dia menyesal dan menanggung kesan akibat perbuatannya setiap hari,” katanya yang turut memohon agar anak guamnya dikenakan penjara sehari sekiranya mahkamah ingin menjatuhkan hukuman penjara terhadap responden.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datuk Mohd Nordin Ismail berkata hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret adalah tidak mencukupi dan memohon mahkamah melalui semakan, menjatuhkan hukuman penjara terhadap responden.

“Responden adalah seorang peguam profesional dan sebagai peguam dia sepatutnya tahu (undang-undang). Dia juga sepatutnya tahu risiko yang dihadapi oleh pengguna jalan raya,” katanya yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum. – BERNAMA