
GEORGE TOWN, 23 April – Polis menjalankan siasatan secara serentak melibatkan siasatan jenayah dan tatatertib, berhubung insiden tular seorang anggota polis didakwa memijak kepala seorang lelaki ketika tangkapan di Kulim, Kedah, baru-baru ini.
- Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan serta siasatan dalaman tatatertib.
- Polis tegaskan tidak akan melindungi salah laku; penggunaan kekerasan mesti munasabah menurut Prosedur Operasi Standard.
- Hasil siasatan akan dimaklumkan selepas proses siasatan selesai.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, selain siasatan dalaman berhubung tindakan tatatertib.
“Kita tidak akan melindungi sebarang salah laku, dalam konteks Prosedur Operasi Standard (SOP) memang ada garis panduan dan penggunaan kekerasan minimum dibenarkan jika suspek melawan, tetapi ia mesti munasabah, dalam keadaan tertentu, tahap kekerasan bergantung kepada ancaman keselamatan.
“Hasil siasatan akan dimaklumkan selepas proses siasatan selesai,” katanya selepas menghadiri Forum Perdana Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang di sini hari ini.
Sebelum ini, polis mengesahkan video tular berdurasi 29 saat yang memaparkan kejadian tangkapan di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra, Kulim ketika operasi rondaan cegah jenayah.