
MEKAH, 23 April – Dalam usaha memperkasa kebajikan, perkhidmatan serta melancarkan perjalanan ibadah jemaah haji Malaysia di Tanah Suci, Lembaga Tabung Haji (TH) menjalin kerjasama dengan Holiday Inn Bakkah menerusi pengenalan perkhidmatan baharu dikenali sebagai ‘Muhsen’ bagi musim haji tahun ini.
- Muhsen berfungsi sebagai pusat maklumat dan saluran perhubungan pantas, cekap dan tersusun untuk memudahkan urusan jemaah.
- Aplikasi Muhsen boleh dimuat naik jemaah, menyediakan pelbagai maklumat berkaitan dan memudahkan akses bantuan.
- Seorang petugas Muhsen menyantuni kira-kira 25 jemaah untuk komunikasi dan bantuan lebih dekat serta berkesan.
- Petugas ditempatkan di penginapan dan lokasi pergerakan utama, serta fasih bahasa Melayu dan Arab untuk urusan rasmi.
Inisiatif tersebut diperkenalkan bagi memudahkan urusan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci, selain berfungsi sebagai pusat maklumat serta saluran perhubungan yang lebih pantas, cekap dan tersusun.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Mohd Hisham Harun berkata, perkhidmatan berkenaan diwujudkan sebagai platform sokongan kepada jemaah untuk mendapatkan bantuan dengan lebih cepat, sekali gus melengkapkan peranan petugas haji sedia ada.
“Bagi memudahkan lagi proses tersebut, satu aplikasi dikenali sebagai Muhsen boleh dimuat naik oleh jemaah haji, yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan.
“Melalui aplikasi itu, seorang petugas Muhsen akan menyantuni kira-kira 25 jemaah bagi memastikan komunikasi dan bantuan dapat disalurkan dengan lebih dekat dan berkesan”, katanya kepada media selepas Majlis Ta’aruf Operasi Haji 2026, di sini.
Beliau berkata, Muhsen merupakan perkhidmatan baharu yang diperkenalkan tahun ini sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada, sekali gus meningkatkan pengalaman jemaah ketika menunaikan ibadah haji.
Katanya, petugas Muhsen akan ditempatkan di kawasan penginapan jemaah serta lokasi pergerakan utama termasuk ketika operasi masyair melibatkan perjalanan dari Mekah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Tambah beliau, aspek komunikasi amat penting terutama apabila melibatkan urusan dengan pihak berkuasa dan penyedia perkhidmatan di Arab Saudi kerana petugas Muhsen mampu bertutur dalam bahasa Melayu serta bahasa Arab.
Menurutnya, keberkesanan aplikasi dan perkhidmatan Muhsen itu akan dinilai menerusi maklum balas jemaah selepas selesai musim haji nanti.