5,000 wanita disasar sertai program PERANTIS tahun ini


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri /Gambar fail

KUALA LUMPUR, 23 April – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan 5,000 wanita menyertai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) tahun ini, meningkat berbanding 1,247 peserta yang dibimbing menerusi program itu tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM5 juta disediakan untuk meluaskan PERANTIS dengan bimbingan 100 ikon wanita.
  • Program melibatkan kerjasama pemain industri untuk latihan dan bimbingan, fokus kepada usahawan wanita dan perniagaan keluarga.
  • Kerajaan sasar melahirkan satu juta usahawan wanita berdaftar menjelang 2030 untuk memperkukuh peranan ekonomi wanita.
  • Dasar Wanita Negara 2025-2030 tetapkan indikator termasuk 60 peratus penyertaan wanita tenaga kerja dan 30 peratus penglibatan pembuat keputusan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata sasaran itu akan disokong peruntukan RM5 juta bagi memperluas pelaksanaan program berkenaan dengan bimbingan daripada 100 ikon wanita.

“Tahun ini kita menyasarkan 5,000 peserta dengan bimbingan daripada 100 ikon wanita. Ia disokong peruntukan sebanyak RM5 juta untuk memperluaskan pelaksanaannya,” katanya ketika berucap pada persidangan The 3rd Family Business Sustainability and Entrepreneurship Conference (FBSEC) 2026 di sini hari ini.

Persidangan bertemakan “From Legacy to Longevity: Sustaining Family Businesses Across Generations” itu menghimpunkan lebih 200 pembuat dasar, pemimpin industri serta peserta serantau.

Beliau berkata pelaksanaan program itu turut melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk pemain industri dalam menyediakan latihan serta bimbingan kepada peserta, khususnya usahawan wanita dan perniagaan keluarga.

Nancy berkata kerajaan turut menyasarkan untuk melahirkan satu juta usahawan wanita berdaftar menjelang 2030 sebagai usaha memperkukuh peranan golongan itu dalam ekonomi negara.

Beliau berkata sasaran itu digariskan menerusi Dasar Wanita Negara 2025-2030 yang turut memberi penekanan terhadap penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan.

“Selain keusahawanan, kerajaan turut menetapkan beberapa indikator utama termasuk 60 peratus penyertaan wanita dalam tenaga kerja serta 30 peratus penglibatan dalam jawatan pembuat keputusan,” katanya.

Dalam persidangan itu, enam syarikat menerima pengiktirafan FBSEC 2026 termasuk Karangkraf yang merangkul Family Business Excellence Award (Category Mid-Tier & Large Enterprise).

Turut menerima pengiktirafan ialah Padzilah Enda Sulaiman dari Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd yang menerima Visionary Founder Excellence Award, manakala Siti Khawa Jannah Nasuha dari Mak Siti Products (M) Sdn Bhd menerima Aspiring Next Generation Leadership Award.

Structural Repairs (M) Sdn Bhd dan IANA Corporations Sdn Bhd masing-masing menerima Outstanding Family Business Award (Category SME), manakala Marrybrown menerima Family Business Excellence Award (Category Mid-Tier & Large Enterprise).