
JERLUN, 23 April- Pembukaan kaunter secara terus bagi permohonan permit khas mengisi petrol atau diesel, memudahkan pemain industri pertanian khususnya golongan pesawah untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.
- Pesawah sambut baik program, harap promosi lebih meluas dan penjelasan senarai dokumen diperlukan sebelum memohon permit khas.
- Ramai pesawah melaporkan urusan cepat dan mudah selepas mendapat maklumat menerusi media sosial.
- KPDN dan rakan kongsi turun padang setiap minggu membantu penduduk yang kurang mahir menggunakan perkhidmatan dalam talian.
Kaunter permohonan permit khas itu dibuka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Lubuk Pinang.
Pesawah, Wan Rosman Wan Dini, menyambut baik program berkenaan selain berharap aspek promosi dapat dilaksanakan dengan lebih rancak.
“Program ini bagus. Cuma lagi bagus kalau dapat war-warkan dengan lebih meluas mengenai apa senarai dokumen atau maklumat yang perlu disediakan sebelum membuat permohonan permit khas di kaunter,” ujar beliau.
Sementara itu, seorang lagi pesawah, Mohd Dhiyauddin Abdul Rahmat mengakui pembukaan kaunter tersebut, memudahkan urusannya.
“Saya tahu mengenai program ini menerusi media sosial. Ada hebahan kaunter permit khas dibuka. Ia memang sangat mudah dan cepat. Urusan saya dah selesai, alhamdulilah,”katanya.
“Terima kasih kerana memudahkan urusan kami bagi mendapatkan kelulusan permit khas minyak ini,” menurut Wan Mohd Aisom Wan Din, juga seorang pesawah.
Mereka ditemui pada Program Permohonan Permit Khas Pembelian Petrol atau Diesel, di sini.
Bulan lalu, KPDN memaklumkan pengisian minyak petrol atau diesel ke dalam bekas atau tong, hanya dibenarkan kepada pemegang permit khas yang sah.
Sepuluh kategori dibenarkan membuat permohonan premit khas tersebut termasuk industri pertanian dan penternakan.
Sementara itu, permohonan permit khas di Jerlun, dijangka melibatkan lebih 90 peratus pesawah di kawasan berkenaan.
“Kita mula sejak minggu lepas. Setiap hari, kita turun ke kawasan-kawasan dan program bersama StartKompen iaitu Penerangan Kedah. Kita bergerak setiap mingu melalui JPKKP, Komuniti MADANI dan Badan Bukan Kerajaan untuk kita kumpulkan orang-orang kampung ini. Kadang orang kampung nak pergi ke kaunter KPDN, ada yang tidak tahu penggunaan internet atau secara dalam talian,” jelas beliau.